Malaysia Dateline

Perak akan mewujudkan Majlis Sukan Elektronik

Perak bakal mewujudkan Majlis Sukan Elektronik Negeri Perak yang berperanan antaranya sebagai badan penguatkuasaan serta urus tadbir berkaitan sukan E-sports.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata enakmen sedang dirangka serta diperhalusi oleh Jawatankuasa Protem Sukan Elektronik Perak yang dipengerusikan beliau.

“Jawatankuasa berkenaan telah bermesyuarat sebanyak dua kali dan enakmen berkaitan dengannya dapat dibentang dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) April ini,” katanya pada sidang media bagi mempromosikan Persidangan Industri Profesional Esport (EPIC) 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata majlis itu juga berperanan dalam menyediakan struktur, bidang kuasa, perjawatan, penguatkuasaan serta urus tadbir dalam hal berkaitan penganjuran acara E-sports.

Selain itu, katanya, majlis itu juga bertindak sebagai tribunal bagi membuat keputusan sekiranya berlaku permasalahan yang melibatkan atlet dan penggiat industri.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri menerusi agensi pelaksana iaitu Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) julung kali menganjurkan EPIC 2019 pada 2 dan 3 Mac ini di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru, dekat sini.

Beliau berkata matlamat persidangan itu adalah untuk membuka peluang dan ruang kepada rakyat di Perak terutamanya golongan belia agar melihat sukan itu bukan hanya sekadar permainan semata-mata tetapi sebagai satu daripada cabang ekonomi baharu menerusi pelbagai bidang kerjaya.

“Persidangan dua hari itu juga akan menghimpunkan ahli panel yang telah lama berkecimpung dalam sukan E-sports di samping mengumpulkan pemain industri dalam arena ini,” katanya.

Ahmad Faizal berkata pada masa yang sama, persidangan yang bertemakan EPIC 2019: ‘More Than Gaming’ itu akan menganjurkan Kejohanan E-sports peringkat daerah Kinta dalam mengenal pasti dan mencungkil bakat belia untuk mewakili daerah itu dalam kejohanan peringkat negeri.

Katanya, terdapat empat permainan dipertandingkan iaitu Konsol Komputer – Dota 2, Konsol Smartphone – Mobile Legends dan PUBG Mobile serta Konsol Playstation 4 – FIFA19 dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM13,000.

Beliau berkata program itu dijangka menarik sekitar 4,000 pengunjung terutama belia yang berkecimpung dalam arena E-sports di Perak dan 30 kiosk pameran akan dibuka pada persidangan itu yang terdiri daripada industri elektronik, produk barangan dan institusi pengajian tinggi.

— BERNAMA