Malaysia Dateline

Perak anggap teks khutbah Jakim berterabur, tidak penuhi isu semasa

Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) menyifatkan teks khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak menyentuh hati dan ‘berterabur’.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-124 baru-baru ini contohnya, isi kandungan teks khutbah Jumaat disediakan Jakim masih berkisar tentang peristiwa 13 Mei dan tragedi Bukit Kepong.

“Jadi saya rombak teks khutbah Jumaat Jakim kepada kandungan yang lebih menepati kehendak semasa,” dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Beliau memberitahu setakat ini telah menulis sebanyak lima teks khutbah Jumaat untuk masjid-masjid di Perak dengan kandungan menepati isu semasa.

Bahkan, katanya, untuk teks khutbah minggu akan datang, MAIPk bakal menggunakan teks sendiri memandangkan Jakim mengetengahkan isu cukai pendapatan.

“Hal ini tidak sesuai. Cuba tengok jemaah yang terutama di kawasan luar bandar, berapa ramai yang membayar cukai pendapatan?

“Kita akan gunakan teks sendiri iaitu mengenai jangan membazir dalam bulan Ramadan. Itu lebih dekat dengan masyarakat menjelang bulan puasa,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, Annuar dilantik sebagai Yang Dipertua MAIPk yang baharu berkuat kuasa 1 Januari lalu menggantikan penyandang sebelum ini, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Noordin.

Pelantikan Annuar yang juga anggota MAIPk sejak April 2008 telah diperkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengikut Seksyen 11, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2014.