Malaysia Dateline

Perak bentang Belanjawan 2019 berjumlah RM1.061 bilion

Kerajaan negeri Perak di bawah Pakatan Harapan (PH) hari ini membentangkan Belanjawan 2019 dengan peruntukan sebanyak RM1.061 bilion bertemakan ‘Bersama Memacu Harapan’.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebanyak RM1.03 bilion daripadanya adalah hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil, manakala RM30.5 juta adalah daripada terimaan pembangunan.

Menurut Ahmad Faizal yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang, belanjawan tersebut dirangka berlandaskan kepada lima fokus, iaitu mengukuhkan ekonomi dan kelestarian negeri serta memacu kesejahteraan dan ekonomi rakyat.

“Fokus lain adalah menggerakkan revolusi Industri 4.0; meluaskan jaringan strategik pembangunan negeri serta memastikan perbelanjaan mengikut keperluan.

“Berlandaskan Manifesto PH, program pembangunan sosio-ekonomi rakyat menjadi fokus utama. Oleh yang demikian, semua program sedia ada dikaji dan ditambah baik, di samping memperkenal program baru yang memberi impak terus kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2019 bagi negeri Perak pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Ahmad Faizal berkata, daripada keseluruhan peruntukan, sebanyak RM771 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM400 juta pula untuk perbelanjaan pembangunan.

Menurut beliau, dalam tempoh kurang daripada enam bulan mengambil alih pentadbiran, kerajaan negeri telah berjaya memperoleh ikrar pelaburan sebanyak RM1.9 bilion melalui pemeteraian memorandum persefahaman bersama beberapa syarikat.

“Kemasukan pelaburan ini adalah manifestasi kepada keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan ini membuktikan betapa pentingnya kita sebagai Adun untuk memastikan kestabilan negeri terpelihara bagi menjamin pelaburan,” katanya.

— BERNAMA