Perak beri tiket percuma temu Kedah malam ini

Perak beri tiket percuma temu Kedah malam ini

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) membuat kejutan dengan membenarkan para penyokong memasuki Stadium Perak secara percuma untuk menyaksikan skuad The Bos Gaurus berdepan Kedah dalam aksi Liga Super 2019, malam esok.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, para penyokong boleh mendapatkan tiket berkenaan bermula pukul 9 pagi esok di kaunter tiket stadium.

“Saya mengajak para penyokong bola sepak Perak datang ke Stadium memberi sokongan kepada pasukan kita, dan kemasukan adalah percuma,” katanya menerusi satu klip video yang dimuat naik dalam laman Facebooknya, di sini hari ini.

Dalam klip video berdurasi 1.08 minit itu, Ahmad Faizal turut menyanyikan sebuah lagu sebagai semangat untuk pasukan Perak esok.

Pertembungan antara Perak dan Kedah yang bermula pukul 9 malam esok merupakan perlawanan kedua Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan.

Pada aksi pertama Liga Super, Perak gagal mengutip mata penuh apabila tumpas 0-1 ditangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin manakala Kedah berjaya membenam PKNP FC 0-3 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Lumut.

— BERNAMA