
Perak harus pilih kerajaan mampu ringankan derita rakyat, kata NGO
Konflik kepimpinan yang berlaku di negeri Perak sehingga menyebabkan kerajaan pimpinan PN tumbang kelmarin seharusnya dijadikan teladan betapa perlunya sebuah kerajaan yang stabil bukan saja diperingkat negeri malah juga diperingkat Pusat.
Demikian disarankan oleh Timbalan Pengerusi, Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang (Teras), Abdullah Mohd Nor ketika ditemui.
Jelas beliau rakyat senantiasa melihat dan meneropong setiap tindakan serta perbuatan kepimpinan negeri dan akan lebih parah sekiranya mereka menzahirkan kekecewaan melalui mandat yang akan diberikan melalui pilihan raya umum.
“Apa yang berlaku di Perak kelmarin mempunyai kaitan yang boleh berlaku di peringkat Pusat dan harus menjadi perhitungan kepada semua kerajaan negeri yang ada apabila ia dizahirkan melalui undi.
” Dalam kesukaran hidup rakyat tatkala ini sudah pasti ia menjadi suatu perhitungan kepada semua pihak termasuk kepimpinan negeri dan juga negara agar memberi prioriti terhadap penderitaan rakyat khususnya dalam kondisi pandemik Covid-19 ketika ini.
” Kerajaan yang baru akan dibentuk di negeri Perak dalam masa terdekat ini semestinya diharapkan sebuah kerajaan yang dapat membantu meringankan penderitaan rakyat yang terkesan seperti masalah ekonomi, kesihatan, pengangguran dan sebagainya,” ujar beliau.
Sehubungan itu tegas Abdullah, menjadi sebuah kerajaan sepatutnya memberi pembelaan kepada rakyat secara total dan bukannya usaha untuk mengkorporatkan mana-mana wakil rakyat samada secara ketara maupun sebaliknya.