Malaysia Dateline

Perak, Melaka raih tiga mata sulung kempen Piala Malaysia

Juara bertahan, Perak memulakan kempen Piala Malaysia 2019 dengan langkah kanan setelah menewaskan juara Liga Premier 2019, Sabah 3-0 pada aksi pembukaan kumpulan C di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.

Kemenangan tersebut membolehkan Perak yang merupakan juara lapan kali Piala Malaysia, merampas tangga teratas kumpulan C daripada Pahang menerusi kelebihan jaringan.

Pada aksi di Ipoh, Brendan Gan meletakkan Perak di hadapan pada minit ke-45 menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti pasukan Sabah, sebelum pemain import dari Brazil, Raianderson Da Costa Morais menggandakan kedudukan untuk skuad “The Bos Gaurus” pada minit ke-50 hasil hantaran Mohammad Nor Hakim Hassan.

Perak mengesahkan tiga mata pada masa kecederaan babak kedua perlawanan menerusi rakan senegara Morais, Leandro Dos Santos yang menampan masuk sepakan sudut yang dilakukan Mohd Firdaus Saiyadi pada minit ke-92.

Pasukan Liga Super, Melaka pula turut meraih tiga mata di laman sendiri setelah menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

PDRM terlebih dahulu berada di hadapan hasil jaringan pemain import dari Korea Selatan, Lee Chang-Hoon seawal minit kelapan.

Melaka, bagaimanapun, bangkit meraih tiga gol, masing-masing menerusi bekas pemain kebangsaan, Mohd Nazrin Nawi pada minit ke-11 dan ke-61, selain gol pemain import dari Filipina, Patrick Riechelt pada minit ke-54.– BERNAMA