Malaysia Dateline

Perak perlu lebih ramai sukarelawan berdaftar, kata Exco

Perak memerlukan lebih ramai sukarelawan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung keperluan penjagaan warga emas dan orang kelainan upaya dalam negeri.

Pengerusi Jawantankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Kedah, Wong May Ing berkata sehingga kini terdapat hanya kira-kira 3,000 sukarelawan yang berdaftar dengan JKM dan jumlah itu masih tidak mencukupi.

Katanya mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Ipoh merupakan bandaraya ketiga di Malaysia yang mempunyai jumlah penduduk warga emas yang ramai iaitu 45,000 orang.

“Sebagai contoh, warga emas yang menghidap dimensia atau Alzheimer memerlukan penjagaan rapi dan khusus tetapi sukarelawan yang ada pada hari ini tidak mencukupi bagi menampung jumlah pesakit sedia ada.

“Kerajaan negeri akan membincangkan hal ini dengan jabatan terlibat untuk meningkatkan jumlah sukarelawan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan makan tengah hari bersama pesakit dimensia di Pusat Penjagaan Dimensia hari ini.

Dalam perkembangan lain, Wong berkata Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang terletak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini akan dipindahkan ke tempat baharu berikutan kawasan persekitaran yang tidak begitu sesuai lagi di situ.

“Kita menerima aduan daripada pemilik premis yang berhampiran dengan PAWE yang tidak begitu selesa dengan bunyi yang kuat semasa aktiviti dijalankan selain ruang yang tidak lagi sesuai bagi warga emas menjalankan aktiviti di situ.

“Jadi, kita akan mencari tempat baharu yang lebih sesuai dan selesa bagi melaksanakan pelbagai aktiviti untuk warga emas dan sehingga kini kita masih lagi mencari tempat yang sesuai sebelum ia dipindahkan,” katanya.

Wong berkata selain di UTC, PAWE turut disediakan di Manjung, Kuala Kangsar, Slim River dan Tanjung Malim.

— BERNAMA