Malaysia Dateline

Perak perlu milik Bersatu ketika gabungan besar hendak dibentuk, kata Hamzah

Perak perlu dikekalkan di bawah Bersatu ketika usaha perlu dibuat untuk mewujudkan gabungan yang lebih besar antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Politik Sarawak (GPS).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, di negeri Perak, jawatan Menteri Besar dikekalkan menjadi milik Bersatu memandangkan jawatan tersebut telahpun dijawat oleh wakil Bersatu sebelum pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.

Sementara itu, katanya, di Johor, jawatan Menteri Besar telah dipersetujui untuk diserahkan kepada Umno walaupun pada asalnya jawatan tersebut milik Bersatu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan negeri yang diketuai wakil daripada Umno adalah sebanyak 4 buah negeri termasuklah di Melaka, Perlis dan Pahang.

Bagi Pas pula, katanya, persetujuan telah dicapai untuk wakil Pas mengetuai kerajaan di tiga buah negeri iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala PBB yang mewakili GPS dipersetujui untuk kekal menerajui kepimpinan negeri Sarawak.

“Alhamdulillah, persefahaman politik ini telah terbukti dapat mengukuhkan kedudukan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional.

“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, PN telah menguasai semula negeri tersebut dan persetujuan telah dicapai untuk wakil Bersatu menjawat jawatan Ketua Menteri bagi negeri Sabah,” katanya.

Untuk bergerak ke hadapan, katanya, persefahaman politik ini harus dikekalkan bagi menghadapi PRU-15 akan datang agar Perikatan Nasional bukan hanya dapat terus memerintah sebagai Kerajaan Pusat tetapi juga berjaya mengambil alih kerajaan negeri yang masih lagi diperintah oleh pembangkang.

“Untuk memastikan kelangsungan permuafakatan ini, saya mencadangkan satu gagasan besar diwujudkan secara rasmi bagi melambangkan kesatuan semua tiga gabungan parti besar yang bersama Kerajaan pimpinan Perikatan Nasional hari ini iaitu Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak.

“Gagasan itu bakal menjulang wawasan dan aspirasi yang diperjuangkan oleh parti-parti politik yang bergabung di bawahnya.

“Oleh itu, satu Piagam Persefahaman Politik antara tiga gabungan parti besar ini harus segera direalisasikan,” kata beliau.

Dengan termeterainya piagam ini, katanya, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat di masa hadapan.