Malaysia Dateline

Perak peruntuk RM1.5 juta untuk 41 PPDK

Kerajaan negeri Perak menyediakan peruntukan khas sebanyak RM1.5 juta kepada 41 Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di negeri ini dalam Belanjawan Perak 2019.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata dengan peruntukan secara bulanan atau berkala itu, setiap PPDK boleh menjemput pakar yang mahir dalam perkembangan awal kanak-kanak kelainan upaya.

“Bantuan bulanan ini diharapkan mampu meningkatkan potensi anak-anak istimewa ini. Peruntukan ini adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri dalam menyokong usaha membela kumpulan masyarakat yang memerlukan.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita sentiasa komited membantu semua persatuan dan pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam membantu usaha murni membela anak-anak istimewa ini,” katanya dalam ucapan Majlis Makan Malam dan Pengumpulan Dana Persatuan Syndrome Down Perak (PSDP) semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata inisiatif kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan RM10 juta kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ‘social enterprise’ untuk menyokong usaha mereka dalam membantu komuniti yang kurang bernasib baik.

“Saya berharap pihak NGO seperti PSDP yang terlibat dalam membantu golongan istimewa dan memerlukan pembelaan akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

“Saya juga mengharapkan NGO meneroka potensi ‘social enterprise’ susulan insentif potongan cukai pendapatan ke atas sumbangan mana-mana pihak kepada ‘social entreprise’ dengan had potongan sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat syarikat dan tujuh peratus daripada agregat individu yang memberikan sumbangan,” katanya.

— BERNAMA