Perak sedia anugerahkan tanah kepada IMAMI

Perak sedia anugerahkan tanah kepada IMAMI

Kerajaan Perak bersedia menganugerahkan sebidang tanah di Batu Gajah kepada Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia (IMAMI) bagi membina Istana Mandailing.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata tanah akan dianugerahkan itu boleh dibangunkan untuk menjadi pusat aktiviti kaum Mandailing di negara ini.

“Kerajaan negeri sebelum ini di bawah pentadbiran Tan Sri Ramli Ngah Talib pernah menganugerahkan sebidang tanah untuk dimajukan Istana Mandailing namun pada ketika itu mereka tidak mampu membayar premium, maka tanah tersebut diambil semula.

“Hari ini, kita ada persatuan IMAMI yang begitu aktif jadi pentadbiran sekarang tidak ada masalah memberinya semula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwitahunan IMAMI 2019/2021 di Dewan Seri Tanjung hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Presiden IMAMI Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Faizal berkata apabila istana itu dibina kelak ia mampu menjadi salah satu lokasi pelancongan menarik di Perak.

“Tanah itu terletak di kawasan pelancongan, dengan membina Istana Mandailing di sana secara tidak langsung dapat memperkenalkan kebudayaan dan kesenian masyarakat itu kepada pelancong tempatan dan luar negara,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin turut menyatakan pihaknya sedia memberi sumbangan sebanyak RM10,000 bagi tujuan membantu usaha IMAMI menyediakan kamus Mandailing.

— BERNAMA