Malaysia Dateline

Perak, Selangor dan pedalaman Sarawak dijangka hujan lebat, boleh cecah 200 mm

Hujan lebat dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh yang bermula 7 November ini dijangka berlaku di pantai barat Semenanjung dan pedalaman Sarawak.

Pemerhati geografi, MatGeo memberitahu anggaran hujan terkumpul sepanjang tempoh 10 hari sehingga 13 November masih belum menunjukkan angin timur laut akan memberi hujan yang tinggi ke pantai timur Semenanjung.

“Hujan yang tinggi akan tercatat di pantai barat Semenanjung terutamanya Perak dan Selangor serta pedalaman Sarawak.

“Curah tertinggi 10 hari di kawasan ini boleh membawa ke 200 mm (milimeter) bagi hujan terkumpul 10 hari,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, kata MatGeo lagi, hujan yang tinggi dijangka berlaku sehingga 250 mm di selatan Thailand terutama Patani.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan kenyataan bahawa musim tengkujuh akan bermula lebih awal daripada yang dijangka iaitu pada 7 November, Isnin ini.

“Empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan berpotensi berlaku sepanjang tempoh ini,” kata MetMalaysia.

Sehubungan itu, kata Ketua Pengarahnya, banjir boleh berlaku di kawasan rendah dan berdekatan sungai akibat hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari.

Jika hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, jelasnya, risiko berlakunya banjir boleh meningkat.

Menurut MetMalaysia, kejadian air pasang besar dijangka berlaku dalam tempoh 6 – 11 dan 22 – 27 November; 7 – 12 dan 22 – 26 Disember dan 6 – 10 dan 21 – 25 Januari 2023.

Fenomena air pasang besar boleh menyebabkan air laut melimpah masuk ke sekitar kawasan penempatan dan membawa kepada risiko bencana banjir di kawasan penempatan penduduk.

Tahun lalu, MTL bermula 3 November dengan hujan mencecah 380 mm di Selangor pada Disember selepas dua hari hujan luar biasa.

Beberapa kawasan di Selangor ketika itu dilanda banjir dengan air pasang di kawasan terlibat mencecah hingga 4.5 meter.

Baca juga Bagaikan diserang dari setiap penjuru – Terus siap sedia hadapi kemungkinan hujan lebat, ancaman banjir

Baca juga Menggayakan busana merah dan biru, netizen kata nampak macam ‘ikan laga’, buat ramai tergelak