Malaysia Dateline

Perak setuju beri ETK tanpa syarat

Kerajaan Negeri setuju untuk mengecualikan syarat tertentu bagi pemberian Elaun Tanggungjawab Khas (ETK) kepada Ketua Pembantu Tadbir (pengkeranian/operasi) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata syarat yang dikecualikan itu termasuk Ketua Pembantu Tadbir pada gred hakiki 22, 26 dan 28 tidak lagi perlu menyelia atau memantau orang bawahan untuk layak menikmati ETK.

“Sebelum ini (pentadbiran terdahulu), ETK diluluskan cuma tidak seronok kerana ada syarat pemantauan. Perkara ini kita akan kemukakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Halatuju Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir Negeri Perak anjuran Gabongan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) negeri Perak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata keputusan yang dikemukakan kelak perlu selari dengan sistem penyampaian lebih berkesan. AUEGCAS negeri Perak telah memohon pengecualian syarat untuk ETK itu sejak 2009.

“Kita cuba mencari jalan penyelesaian terbaik tetapi dalam masa yang sama ia perlu diseimbangkan dengan penyampaian perkhidmatan yang jauh lebih baik… dan tidak mahu mendesak kerajaan semata-mata untuk memenuhi semua permintaan tetapi kualiti perkhidmatan merudum,” katanya.

— BERNAMA