Perak tubuh jawatankuasa khas tangani isu setinggan, pengusahaan tanah haram

Perak tubuh jawatankuasa khas tangani isu setinggan, pengusahaan tanah haram

Kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah setinggan dan pengusahaan tanah haram yang berlaku di Perak sejak puluhan tahun dahulu.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata jawatankuasa khas yang diwujudkan awal tahun ini, komited dalam menangani isu tersebut kerana kerajaan negeri menanggung kerugian besar berikutan aktiviti penerokaan haram yang berleluasa di seluruh negeri.

“Melalui jawatankuasa ini, kita dapat mengenal pasti tanah milik kerajaan dan tanah kerajaan yang telah diluluskan kepada syarikat GLC negeri untuk dibangunkan tetapi telah diceroboh peneroka secara haram.

“Masalah ini telah berlaku puluhan tahun kerana terdapat pokok di ladang yang diteroka secara haram telah mencapai belasan tahun, maka tentunya ini adalah masalah yang begitu lama dan ia perlu diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis Penyiapan Projek Pusat Perdagangan Kampar Fasa 1 di Terminal 1 @ Kampar semalam.

Projek Fasa 1 yang mula beroperasi 1 Dis tahun lepas merangkumi sebuah Terminal Bas (untuk bas henti-henti) yang dilengkapi dengan 50 petak parkir kenderaan, 10 unit ruang bas, ruang pejabat dan lain-lain kemudahan termasuk untuk pengusaha kereta sewa dan teksi.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata jawatakuasa itu yang dipengerusikan oleh beliau turut dianggotai pegawai daerah, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Perak, syarikat perbadanan dan agensi kerajaan dalam usaha mengenal pasti tanah yang diteroka secara haram.

Beliau berkata mesyuarat pertama jawatankuasa itu yang diadakan pada Selasa lepas telah membuat keputusan terhadap 12 kes dan banyak lagi kes yang akan dikaji bagi menangani isu penerokaan haram tersebut.

“Penguatkuasaan dan kaedah mengesahkan terhadap pencerobohan tersebut kita kaji dalam jawatankuasa ini dan semua agensi kerajaan bekerjasama menangani isu tersebut ,” katanya.

Ahmad Faizal berkata beliau mengambil berat masalah petani kecil yang terpaksa menceroboh atau melakukan aktiviti pertanian di atas tanah kerajaan berikutan faktor kebergantungan hidup terhadap hasil tanah tersebut.

“Mereka ini daripada golongan miskin, jadi kita mesti bela tidak kira agama dan bangsa. Cuma apabila kerajaan nak bantu, kita cari jalan untuk tempatkan mereka di tempat yang sesuai, ada kemungkinan berlaku penghijrahan tetapi bukan semua.

“Kalau nampak tanah kosong kita tanam, itu tidak boleh, kita ada undang-undang. Cuma kalau mereka bergantung pada benda (pertanian) itu kita perlu pergi dan bantu, ini kerajaan baharu nak bantu,” katanya.

– BERNAMA