Peralihan kuasa: Ahli, penyokong parti dinasihat tumpu pentadbiran negara, isu rakyat

Peralihan kuasa: Ahli, penyokong parti dinasihat tumpu pentadbiran negara, isu rakyat

Isu peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri melibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat terus menjadi perbualan hangat dewasa ini.

Dalam isu tersebut, Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil berpendapat, ahli dan penyokong parti hendaklah memberikan tumpuan kepada pentadbiran negara.

Katanya, ahli dan penyokong hendaklah memberikan tumpuan kepada pentadbiran negara dan isu rakyat supaya sokongan rakyat terhadap kerajaan PH akan berterusan.

“Peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri ini telah pun dipersetujui antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya berpendapat, tidak sepatutnya isu peralihan kuasa ini dibincangkan secara terbuka kerana ia memang telah dipersetujui, cuma bila itu, biarlah Majlis Presiden PH yang membuat keputusan.

“Saya percaya ia (proses peralihan kuasa) dapat dijalankan dalam keadaan baik dan kondusif demi pentadbiran licin kerajaan PH,” katanya kepada Malaysia Dateline, hari ini.

Muhammad Faiz mengulas demikian ketika ditanya tentang nasihat beliau agar penyokong Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim saling menghormati dan memberi ruang kepada Ahli Parlimen Langkawi itu untuk melakukan perubahan demi rakyat Malaysia sebelum berundur.

Dalam polemik yang sama, Muhammad Faiz yang juga Adun Permatang Pasir turut berpandangan bahawa Majlis Presiden PH perlu berbincang secara baik antara keempat-empat parti iaitu AMANAH, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan DAP.

Hari ini, BH melaporkan Bersatu Pahang meminta semua pihak, terutama daripada parti komponen PH, supaya berhenti memainkan isu peralihan kuasa Perdana Menteri.

Setiausaha Badan Perhubungan Bersatu Negeri, Mohd Yazid Mohd Yunus, berkata ia bagi menghormati konsensus semua pemimpin PH dan memfokus usaha menunaikan janji dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Terlalu banyak perkara lain yang lebih penting untuk Kerajaan Persekutuan lakukan.

“Perkara ini (peralihan kuasa) boleh diselesaikan kemudian, apabila isu dan masalah ditinggalkan kerajaan terdahulu dapat diselesaikan.

“Bagi kami (Bersatu Pahang), Tun Dr Mahathir perlu diberikan ruang dan masa secukupnya untuk menyelesaikan masalah serta menunaikan janji dibuat pada PRU-14 supaya PH terus diyakini dapat membina semula negara,” katanya dalam satu kenyataan.