Malaysia Dateline

Peralihan kuasa: Anwar sekali lagi bertemu Mahathir tetapkan pendirian bersama

Sekali lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini untuk menyatakan pendirian bersama berkaitan isu peralihan kuasa kedua-dua pemimpin parti dalam komponan Pakatan Harapan (PH) itu.

Presiden PKR itu berkata, pertemuan yang berlansung selama 30 minit di pejabat Dr Mahathir itu, turut membincangkan beberapa isu lain dalam mencari kata sepakat.

“Hari ini saya mengadakan pertemuan selama 30 minit bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

“Dalam pertemuan tersebut saya telah memohon persetujuan Perdana Menteri untuk mengeluarkan kenyataan berhubung beberapa isu.

“Pertamanya, pendirian Tun Dr Mahathir dan saya berhubung isu peralihan kuasa sama sekali tidak pernah berubah seperti yang dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH) dan dijanjikan berulang kali oleh Perdana Menteri,” ujarnya dalam status dimuat naik di laman facebooknya petang ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau memaklumi isu peralihan kuasa ini perlu dilakukan secara aman dan teratur dalam tempoh yang munasabah serta mendapat persefahaman bersama.

“Kami bersetuju untuk menumpukan perhatian pada pertumbuhan ekonomi dan penyediaan ke arah penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

“Kami juga tidak bersetuju sekiranya ada usaha lain yang menyimpang dari persetujuan tersebut atau menggunakan nama saya dan Perdana Menteri dalam mana-mana muslihat lain,” ujarnya.

Anwar turut berkata Perdana Menteri juga mengambil perhatian mengenai dakwaan terhadap kalangan anggota jemaah menteri yang menyalahgunakan kuasa atau meraih dukungan politik menerusi pemberian projek.

Pada Mei lalu Anwar juga bertemu Mahathir untuk membincangkan isu sama mengenai peralihan kuasa antara mereka.

Mahathir sebelum ini turut menyatakan pendiriannya akan menyerahkan kuasa kepada presiden PKR itu apabila tiba masanya sebagaimana dijanjikan ketika pembentukan Pakatan Harapan sebelum PRU14 lepas selepas dua tahun pemerintahan sebagai perdana menteri.

Namun sejak mutakhir ini isu sama kerap ditimbulkan oleh pimpinan politik pembangkang untuk mendesak Dr Mahathir meneruskan khidmatnya bagi tempoh sepenggal pemerintahan kerajaan PH.