Malaysia Dateline

Peralihan kuasa: AWAN percaya Majlis Presiden PH dahului kepentingan rakyat

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) percaya muafakat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan mendahului kepentingan rakyat dalam memuktamadkan proses peralihan kuasa.

Pengarah Komunikasi AWAN Anis Afida Mohd Azli berkata, walaupun isu peralihan kuasa sudah ditegaskan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan berlaku selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) namun terdapat segelintir pihak yang masih terus membesar-besarkan perkara ini.

“Ini mengakibatkan kestabilan PH sekali lagi diuji.

“AWAN mengharapkan agar semua pimpinan yang menjadi menjadi wakil kepada semua parti anggota meletakkan setiap perbincangan itu dengan menjadikan agenda masa depan rakyat dan negera sebagai keutamaan.

“Ini selari dengan slogan PH yang sering membawa Harapan kepada semua rakyat sejak sebelum memerintah sehingga menjadi kerajaan, ia perlu kekal dengan nada dan iltizam yang sama,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas mengenai mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang akan diadakan malam ini antaranya dipercayai akan membincangkan isu mengenai peralihan kuasa.

Menurut Anis Afida lagi, AWAN percaya pimpinan PH dalam Majlis Presiden tidak meletakkan agenda peribadi dan mempergunakan kedudukan yang ada untuk kelansungan hayat politik peribadi dan kelompok melebihi kepentingan negara.

“Besar harapan AWAN dan seluruh rakyat Malaysia melihat perjalanan Mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan berlangsung pada malam nanti berjalan dengan lancar dan memberi berita gembira kepada masa hadapan rakyat sekaligus negara Malaysia,” ujarnya.

Pada 13 Februari Ketua Setiausaha Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan PH akan mengadakan mesyuarat untuk memuktamadkan isu peralihan kuasa pada mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari.

Reaksi Ketua Umum PH yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu cenderung peralihan kuasa antara mereka berlaku sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November depan.

Muafakat PH pada 6 Januari 2018 berhubung isu berkenaan tidak menyatakan sebarang tarikh peralihan kuasa untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-8.