Malaysia Dateline

Peralihan kuasa: ‘Biar Majlis Presiden PH tentukan’

Presiden AMANAH Mohamad Sabu berpandangan isu peralihan kuasa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu ditentukan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) dan tidak seharusnya terus dibangkitkan.

Kata Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) ITU lagi, sekiranya isu peralihan kuasa ini terus dibangkitkan ia akan menganggu tugas kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara.

“Isu peralihan kuasa juga tidak harus terus-menerus dibangkitkan kerana ia akan mengganggu tugas kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara.

“Biarlah Majlis Presiden PH yang menentukannya,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan  berkata dalam keadaan ekonomi negara yang meningkat pada tahun lalu, ini membuktikan bahawa reformasi yang dilakukan PH dalam pentadbiran kerajaan berjaya menggembalikan kepercayaan pelabur-pelabur asing untuk kembali melabur di Malaysia.

“Tahun 2020 ini, kerajaan akan bekerja dengan lebih keras lagi untuk memulihkan ekonomi negara agar rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Fokus ini tidak harus terganggu dengan isu-isu lain termasuk isu-isu perkauman dan agama yang sengaja dimainkan,” ujarnya yang mengulas mengenai laporan The Straits Times Singapura semalam, bahawa pelaburan asing ke Malaysia meningkat pada tahun lalu.