Malaysia Dateline

Peralihan kuasa: ‘Biar Parlimen tentukan, bukan serah kepada individu dalam Bersatu’

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyarankan agar Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin menyediakan pelan peralihan kuasa.

“Biar Parlimen tentukan. Bukan serah kepada individu dalam PPBM,” katanya.

Beliau berpendapat Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) tidak mampu memulihkan imej Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Pengumuman pakej itu juga, kata bekas Ahli Parlimen Batu Pahat tersebut, tidak berupaya memulihkan imej kerajaan PN yang terus menjunam.

Trending ‘Kerajaan Gagal’ ditambah dengan trending baharu ‘Kerajaan Cirit’ dan ‘PM Cirit’.

“Apa pun kerajaan PN lakukan sudah tidak menjadi. Sudah terlambat,” tegasnya.

Malah, Puad menyifatkan imej Mahiaddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan teruk terjejas dengan sambutan rakyat terhadap gerakan Bendera Putih.

“Kalau semakin banyak bendera putih naik, ia juga sindiran tajam kepada PM 8,” katanya lagi.

Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kelmarin menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini.

Mahiaddin pula dimasukkan ke hospital di ibu negara pagi semalam untuk menerima rawatan dan pemantauan selepas cirit-birit sejak 29 Jun.