Malaysia Dateline

Peralihan kuasa: Majlis Presiden PH digesa buat keputusan muktamad elak desakan ahli parti

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) digesa supaya segera mengeluarkan kenyataan sama ada mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak atau mengekalkan jawatannya.

Mohd Shaid Rosli

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, Mohd Shaid Rosli dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, dalam isu ini, sepatutnya semua sedia maklum bahawa keputusan daripada Majlis Presiden PH adalah muktamad.

“Jangan hanya bersandiwara dan memperlekehkan nilai seorang negarawan. Presiden setiap komponen PH seharusnya faham cara terbaik untuk memberi nasihat kepada orang bawahan supaya tidak terlalu kurang ajar.

“Jangan hanya tahu mendesak, tetapi apabila disuruh membuat satu keputusan, Majlis Presiden sendiri tidak berani.

“Saya tidak sanggup melihat pimpinan nombor satu negara yang juga tokoh utama Bersatu  disindir seolah-olah tidak bermaruah,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shaid turut menyifatkan tindakan segelintir pimpinan komponen PH yang membuat kenyataan terbuka tentang isu ini, sebagai agak kurang ajar.

“Adalah satu tindakan yang kurang sihat atau lebih tepat agak kurang ajar apabila ada segelintir pimpinan komponen PH membuat kenyataan secara terbuka dalam forum, akhbar, portal dan sebagainya untuk mendesak Dr Mahathir mengotakan janji melepaskan jawatan PM kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sekali lagi saya ulang, jika kamu berani buat keputusan mendesak Dr Mahathir melepaskan jawatan, maka buatlah. Jika tidak, kamu buat satu kenyataan bersama Majlis Presiden mahukan Dr Mahathir kekal menjadi PM sehingga satu masa yang sesuai untuk diserahkan kepada penggantinya.

“Sebagai wakil rakyat PH yang duduk sebumbung atas nama komponen PH, seharusnya kita semua perlu faham bahawa hormatkan pemimpin itu adalah keutamaan,” tegasnya lagi.

Isu peralihan kuasa kembali panas susulan kenyataan terkini Dr Mahathir semalam untuk bersedia melepaskan jawatan perdana menteri sekiranya Majlis Presiden PH mahu beliau berbuat demikian.

Sebelum itu terdapat  cadangan beberapa Ahli Parlimen PKR agar peralihan kuasa perdana menteri dibuat pada Mei tahun ini.