Peralihan kuasa: Majlis Presiden PH punyai ‘wisdom’, kata Saifuddin Nasution

Peralihan kuasa: Majlis Presiden PH punyai ‘wisdom’, kata Saifuddin Nasution

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mempunyai kebijaksanaan dalam menguruskan isu serta perkara berkaitan transisi dan peralihan kuasa perdana menteri, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin Nasution berkata Majlis Presiden PH mengadakan mesyuarat setiap bulan dan beliau percaya ia merupakan platform terbaik untuk sebarang perbincangan dan menyampaikan cadangan berbangkit.

“Yang penting adalah jaminan bahawa ia (peralihan kuasa) harus berlaku secara tertib, licin, lancar dan tidak mewujudkan keresahan. Saya fikir itu keutamaan yang ada, dan saya percaya ‘wisdom’ itu ada pada Majlis Presiden PH,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Siri Syarahan Prof Richard Whish anjuran Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai cadangan beberapa ahli parlimen PKR agar peralihan kuasa perdana menteri dibuat pada bulan Mei tahun ini.

Hari ini media melaporkan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedia melepaskan jawatannya sekiranya itu keputusan yang dimahukan Majlis Presiden PH. — BERNAMA