Peralihan kuasa PM: 3 tahun mungkin tempoh lebih sesuai

Ahmad Lutfi OthmanSaya tertanya-tanya juga mengapa resolusi konvensyen Pakatan Harapan, lima bulan sebelum PRU14, perlu menggandingkan keputusan mencalonkan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh dengan Anwar Ibrahim penggantinya.

Muafakat Pakatan Harapan pada 6 Januari 2018 itu turut menamakan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri, pertama kali wanita dipilih.

Berbeda dengan PRU13, gabungan pembangkang – Pakatan Rakyat – gagal mendapat persetujuan untuk menamakan Anwar sebagai calon PM. Ada usaha membawa Tengku Razaleigh, veteran Umno, sebagai alternatif, tetapi ditolak. Di bawah Mahathir, satu lagi kejayaan grand coalition adalah penggunaan logo bersama iaitu lambang PKR mewakili semua calon PH. Sebelumnya, masing-masing bertanding atas simbol parti sendiri.

Saya mengandaikan, ketetapan Anwar sebagai perdana menteri kelapan dibuat mungkin untuk meredakan hati penyokongnya agar dapat menerima pencalonan Mahathir. Anwar adalah ikon perjuangan pembangkang hampir 20 tahun, 1998-2018, manakala Mahathir adalah seteru ketat dan dilabel pelbagai panggilan jelik, sehinggalah beliau melancarkan perang terbuka dengan Najib Razak ekoran skandal mega 1MDB.

Saya kutip semula kandungan Muafakat Pakatan Harapan itu, poin nombor dua, bagi meneliti ketetapan yang dipersetujui bersama: “Untuk memperkukuh kepimpinan kerajaan PH dan memperteguh muafakat antara parti-parti anggota, proses undang-undang untuk mendapatkan Pengampunan Diraja bagi membebaskan Anwar akan dimulakan segera, selepas PH mengambil alih pentadbiran negara, agar Anwar dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8.”

Dengan meletakkan Mahathir sebagai perdana menteri interim, mungkin ia boleh menyejukkan hati dan mententeramkan rasa terkilan penyokong Anwar. Ada petanda jelas waktu itu aktivis reformasi, dan penyokong tegar pembangkang sejak sekian lama, masih menaruh syak wasangka dan prejudis tebal kepada Mahathir. Rekod buruk semasa menjadi PM ke-4, menghantui benak mereka. Malah selepas resolusi konvensyen di Shah Alam itu diumumkan pun, masih kedengaran suara protes terhadap pencalonan Mahathir.

Meskipun Mahathir sanggup ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 September 2916, untuk bertemu dan bersalaman buat pertama kali dengan Anwar, sejak 2 September 1998, namun reaksi di peringkat akar umbi tidak semudah diharapkan; “mungkin boleh maafkan, tidak untuk melupakan”. Justeru, saya mengandaikan pencalonan Mahathir dan seterusnya Anwar itu, merupakan kompromi untuk membentuk persepakatan harmonis bagi menumbangkan BN-Najib. Ia juga mengelak pihak yang terkilan membazirkan undi mereka.

Ahmad Lutfi Othman dalam pertemuan dengan Dr Syed Husin Ali dan pengasas Gerakbudaya, Chong Ton Sin baru-baru ini.

Sementara itu, usaha mendapatkan pengampunan diraja untuk Anwar dilakukan segera, iaitu tidak sampai seminggu, sejurus kerajaan baharu ditubuhkan. Lembaga Pengampunan bermesyuarat pada 15 Mei, jam 11 pagi. Esoknya, Anwar secara rasmi diisytihar mendapat pengampunan penuh. Saya sendiri tidak menjangka proses itu berjalan begitu cepat.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun pada Februari 2015 dan sepatutnya dibebaskan pada 8 Jun 2018. Memperolehi pengampunan penuh tanpa sebarang syarat, bermakna beliau tidak terikat dengan apa jua sekatan aktif berpolitik dalam tempoh panjang selepas bebas daripada penjara. Tanpa pengampunan diraja, yakni Anwar dibebaskan selepas tamat tempoh, dan terikat dengan status “bekas banduan”, beliau perlu berehat agak panjang daripada aktif berpolitik

Satu permulaan yang baik apabila proses mendapatkan pengampunan Anwar itu berjalan tanpa lengah. Tanda persetujuan awal dihormati sepenuhnya. Cuma saya tidak pasti bagaimana polemik peralihan kuasa ini tercetus lebih awal daripada sepatutnya. Mungkin ia bermula dengan desakan atau usul bahagian Bersatu Setiawangsa (diketuai Setiausaha Politik Mahathir sendiri, Zahid Mad Arip) pada hujung Oktober 2018, lima bulan selepas PRU14, agar Mahathir menerajui negara sehingga habis penggal Parlimen ini.

Mahathir menolak usul itu sambil menegaskan beliau akan berpegang kepada janjinya. Dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Bersatu, Disember 2018, beliau komited untuk menyerahkan jawatan PM kepada Anwar, seperti dijanjikan. Bagaimanapun, lazimnya, kenyataan Mahathir sering ditafsirkan dengan pelbagai makna berbeda. Ataupun ada yang berprasangka, beliau mungkin mengubah keputusan jika situasi sudah berubah dan keperluan mendesak berbuat demikian.

Reaksi beberapa pemimpin yang juga angota Parlimen PKR mengundang perdebatan. Secara langsung dan terbuka Mahathir diserang; cerita lama diungkit kembali. Ada yang mendesak pelan peralihan itu harus diatur dengan sistematik. Timbul isu tempoh yang telah dimuktamadkan. Di sini timbul percanggahan; apakah benar selepas dua tahun atau masa belum ditetapkan?

Kempen pemilihan PKR tambah mengeruhkan suasana. Benar, tiada pertandingan jawatan presiden yang dimenangi Anwar, tetapi persaingan kerusi no. 2 dilihat membahagikan atau memecahkan parti. Anwar dianggap memihak atau cenderung kepada kem Rafizi Ramli. Sementara itu, penyandang Azmin Ali dikatakan bercita-cita tinggi menggantikan Mahathir. Masa sama, orang-orang kepercayaan Mahathir didakwa berusaha bagi menghalang laluan Anwar. Keadaan ini tidaklah mengejutkan. Mungkin Mahathir-Anwar sudah membuka babak baru, tetapi tidak kepada penyokong masing-masing.

Waduh, mungkinkah situasi 1998, tragedi gelap-gelita berulang kembali? Apakah dua personaliti ini bakal bertempur lagi? Menang jadi arang, kalah jadi abu! Seorang berusia 94 tahun, lawannya 72. Masa adalah faktor kritikal. Anwar dilihat bernasib baik kerana tidak mempunyai saingan yang jelas. Azmin belum cukup “masak” serta kurang disegani rakan-rakan sekutu PH, dan diganggu penyebaran video seks. Manakala Muhyiddin Yassin agak uzur dan bekas TPM itu juga sering mengulangi resolusi peralihan kuasa mesti ditepati. Muhyiddin, Presiden Bersatu pernah menjadi sekutu Anwar pada awal 1990-an dulu.

Saya kira perdebatan tentang had pentadbiran Mahathir tidak wajar menggugat keharmonian PH. Ia juga dikira tidak produktif. Sama ada dua ataupun mungkin tiga tahun, ia masih dalam julat masa yang munasabah. Saya agak tidak selesa apabila hal ini diungkit terlalu awal, yakni belum pun cukup setahun Mahathir menjadi PM. “Umum tahu sensitiviti Mahathir, dia tak suka ditekan, dan mengapa mahu jolok sarang tebuan?” soal seorang pemerhati politik, yang menganggap bidasan Dr Syed Husin Ali tentang kejujuran Mahathir, sebagai liabiliti buat Anwar.

Bekas pengasas PKR, yang pernah mengetuai Parti Rakyat Malaysia itu juga mempersoalkan gaya kepimpinan Mahathir yang didakwa kembali bersifat autoritarian san diktatorial. Namun kritikan utamanya dilihat tertumpu kepada teka-teki tarikh pengunduran Mahathir. Beliau turut menyinggung sikap pemimpin utama PH yang “dibonsaikan”, yakni tidak berani menegur perdana menteri selepas dilantik menteri kanan.

Syed Husin dianggap pemimpin veteran yang rapat dengan Anwar. Kedua-duanya pernah ditahan ISA ekoran demonstrasi petani di Baljng, 1974; masing-masing selama enam dan dua tahun. Secara personal saya amat menghormati daya tahan bekas profesor Universiti Malaya ini. Beliau juga merupakan penulis yang prolifik. Catatan pengalamannya di kem tahanan Kamunting, buku Dua Wajah, saya baca berulang kali.

Mengulas polemik ini, Anwar dalam satu program di Bangsar memberitahu jaminan Mahathir, yang menyebut kepadanya: “Anwar, saya telah janji dan saya akan kotakannya. Tapi jangan macam ini – paksa saya, buat saya umumkan tarikh sebenar kerana saya akan jadi (seperti) perdana menteri yang tidak berfungsi (lame duck).”

Secara peribadi, saya juga agak rimas dengan tempoh peralihan yang dikatakan dua tahun itu. Saya fikir, ia perlu lebih panjang, tetapi tidaklah sampai tamat penggal. Tiga tahun agak memadai untuk misi kali kedua Mahathir. Anwar juga harus bersedia secukupnya untuk berdepan PRU15. Lagipun usia Anwar sudah dikira lanjut untuk memulakan tugas penting sebagai PM. Mahathir menyerahkan kuasa kepada Abdullah Ahmad Badawi pada 31 Oktober 2013, lebih kurang lima bulan sebelum PRU2004. Dalam pilihan raya itu, BN merekodkan kejayaan paling gemilang, merangkul lebih 90 peratus kerusi Parlimen. Dalam pada itu, PH melalui manifesto PRU14 turut berjanji untuk menghadkan tempoh dua penggal sahaja buat perdana menteri.

Buku tulisan Dr Syed Husin Ali.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali yakin peralihan jawatan tertinggi itu akan berjalan lancar: “Saya masih yakin Tun akan menyerahkan kuasa selewatnya tiga tahun dari ia dilantik PM ke-7, lebih kurang bersamaan 18 bulan dari tarikh penangguhan pemilihan Bersatu.

“Jika tarikh peralihan tidak berlaku selepas tiga tahun, PH bakal berdepan krisis, lebih banyak perang mulut atau mungkin perubahan kolisi daripada yang ada sekarang dlm PH.”

Ditanya kritikan keras Syed Husin yang mendakwa Mahathir bersikap diktatorial, Dr Mazlan tidak bersetuju dengan pandangan itu.

“Kadang-kadang memimpin negara sebagai PM memerlukan Tun Mahathir menggunakan kuasa prerogatifnya untuk tujuan kelancaran sesebuah kerajaan. Era pemerintahan PH ini menyaksikan kerajaan diserang segenap penjuru oleh pembangkang, Umno dan Pas, ia memerlukan Tun membuat keputusan segera untuk mengatasi kesan serangan pembangkang ini. Saya percaya kerajaan yang dipimpin Tun Mahathir masih di landasan yang ditentukan PH,” katanya.

Saya sendiri melihat, antara Syed Husin dan Mahathir, sebenarnya tiada percanggahan khususnya soal tarikh peralihan kuasa itu. Kedua-duanya agak bersepakat, iaitu tidak melebihi tiga tahun, atau lebih tepat 36 bulan. Syed mahu Anwar berkuasa selewat-lewatnya dua tahun sebelum PRU15. Bukankah sama maksud kedua-duanya?

Kita mendoakan kesihatan yang baik buat mereka. Penyokong masing-masing mesti mengutamakan keutuhan PH daripada kepentingan kelompok atau parti, khususnya di kala survival kerajaan menjadi tanda tanya.

PH disokong majoriti pengundi disebabkan imej muafakat :grand coalition” dan tekad membawa pembaharuan, serta iltizam untuk membanteras korupsi. Mahathir dan juga Anwar menyumbang untuk kemenangan tidak diduga itu. Usah dipersiakan harapan menggunung mereka dengan gambaran “perebutan kuasa” dan “keghairahan mengisi tembolok”. Manafaatkan sebaiknya saluran atau gelanggang sesuai untuk menyelesaikan masalah berbangkit. Sekali kepercayaan terburai, ia sukar dipulihkan dalam masa singkat. Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya!