Malaysia Dateline

Peralihan kuasa PM bukan isu terlalu penting, kata Ilham Centre

Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre berpandangan, peralihan kuasa tampuk tertinggi pimpinan negara bukan isu terlalu penting, sebaliknya kerajaan perlu memberi perhatian kepada kebajikan rakyat.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri  Ibrahim berkata, di samping politik dalaman, kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga perlu meletakkan keutamaan untuk mengekalkan kestabilan negara.

Mohd Yusri Ibrahim

“Selain mengekalkan kestabilan negara, pihak kerajaan juga perlu menjaga masalah rakyat.

“Pakatan Harapan telah diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Sama ada peralihan kuasa melibatkan Perdana Menteri akan berlaku pada Mei atau pun selepas November 2020, ianya bukanlah isu yang terlalu penting,” katanya menerusi ciapan Facebook Ilham Centre.

Terbaharu, Naib Presiden PKR, Tian Chua mengingatkan ahli dan pemimpin PKR tidak boleh terlalu taasub dengan agenda mengangkat Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan sehingga melupakan agenda sebenar parti itu.

Tian Chua menyifatkan PKR kini seolah-olah terlupa kepada agenda utamanya yang selama ini memperjuangkan reformasi dan membela nasib rakyat.

“Dalam kongres ini bukan isu Anwar jadi Perdana Menteri kelapan. Isu ini telah ditetapkan dalam Pakatan Harapan (PH), dalam meja rundingan PH.

“Saya kecewa dalam meraikan ulang tahun kita pada kongres kali ini, sepatutnya terus memperkukuh agenda perjuangan dan membela rakyat, tetapi sebaliknya menjadi medan untuk mengampu, mengipas secara bergilir-gilir (untuk) Anwar sebagai PM kelapan.

“Saya cabar semua, kita boleh buat sekarang ini dalam keadaan selesa kerana ada kemudahan mudah (sebagai kerajaan).

“Cuba fikirkan dua puluh tahun lalu, nak sebut ‘Hidup Anwar’ berapa ramai yang berani?” katanya seperti dipetik Berita Harian Online.

Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen Batu berkata demikian pada ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ahad lalu.

Tian Chua adalah satu-satunya ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dikaitkan dengan pasukan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang hadir pada sesi penggulungan.