Malaysia Dateline

Shamsul Iskandar Mohd Akin

Peralihan kuasa PM: Keadilan hormati perjanjian

Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) berpendapat kenyataan beberapa pihak yang terus mempersoalkan isu pelan peralihan kuasa Perdana Menteri sebagai tidak menghormati hasrat rakyat yang memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya yang lalu.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, isu yang terus dibangkitkan itu dilihat bersifat demi kepentingan politik peribadi yang sama sekali tidak mencerminkan imej parti.

“Keadilan melihat kenyataan-kenyataan tersebut hanyalah satu pandangan bersifat kepentingan politik peribadi dan berkemungkinan cuba menyelamatkan diri daripada sesuatu isu kontroversi demi kelangsungan politik.

“Dengan tegas kami nyatakan, bahawa kami akan menghormati perjanjian yang telah dipersetujui dan peralihan kepimpinan akan dibuat secara penuh hormat, tertib dan muhibbah serta berlunaskan kepada prinsip dan amalan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, semua pihak dinasihatkan agar memberi tumpuan terhadap usaha menyelesaikan permasalahan rakyat terutamanya dalam langkah-langkah segera untuk membaik pulih ekonomi negara.

Ujarnya, Keadilan turut menggesa semua pihak agar menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan pandangan serta menjaga tertib dalam parti dan juga antara parti komponen demi menjaga keutuhan PH.