Malaysia Dateline

Peralihan kuasa: Rakyat akan lihat PH lebih berintegriti tunai janji

Peralihan kuasa Tun Mahathir MohamaD kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat akan melihat Pakatan Harapan (PH)lebih berintegriti untuk tunaikan janji yang telah dicanang-canang sebelum kemenangan dicapai dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu, kata Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria.

Beliau berkata, dalam Sistem Demokrasi Westminster yang diamalkan negara ini, rakyat tidak memilih Perdana Menteri (PM) setiap lima tahun sepertimana demokrasi di Amerika, sebaliknya PM dipilih dari parti yang telah berjaya memperolehi kerusi paling banyak dan mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.

Jelasnya, semua pihak harus ingat dan tidak mudah lupa bahawa semua calon-calon PH telah pun menggunakan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta manifesto PRU yang mana kempen meluas PH tatkala itu, Tun Mahathir akan menjadi PM, manakala Anwar akan

di bebaskan yang kemudiannya akan berlaku peralihan kuasa PM dari Tun Mahathir kepada Anwar.

“Walaupun tiada tempoh spesifik bila Tun Mahathir akan berundur, yakni apabila berlakunya peralihan kuasa.

“Akan tetapi, konsensus dan semangat kesepakatan bersama keempat-empat parti komponen PH, akan berlaku peralihan kuasa.

“Perkara ini telah pun diketahui umum dan juga rakyat keseluruhannya sebelum mereka membuang undi dalam PRU ke 14 yang lalu, ” tegasnya.

Menurut Dr Zaidi lagi, setelah rakyat memberi mandat penuh kepada PH atas janji manifesto dan semangat konsensus peralihan kuasa, ia membawa erti rakyat juga bersetuju dan bersedia bila berlakunya peralihan kuasa.

Sehubungan itu, peralihan kuasa yang dirancang oleh parti-parti yang mendapat mandat rakyat, yakni PH tidak boleh diertikan sebagai tindakan ‘pintu belakang’, sebaliknya ianya adalah tindakan ‘pintu hadapan’ yang dibuat secara teratur, terbuka dan transparen.

“Dalam sejarah politik negara ini, ia bukan suatu perkara yang baru.

“Umno/BN yang sekian lama mendapat mandat penuh rakyat, sudah lama mempraktikkan peralihan kuasa secara teratur apabila kuasa dari Tun Razak beralih kepada Tun Hussein Onn.

“Manakala dari Tun Hussein Onn pula kepada Tun Mahathir dan beralih kepada Tun Abdullah dan terakhirnya kepada Datuk Seri Najib, ” katanya.

Tambah Dr Zaidi lagi, kesemua peralihan kuasa tersebut berlaku sebelum tamatnya penggal pemerintahan dan harus diambil iktibar.

“Sebenarnya Kerajaan ‘Pintu Belakang’ pula adalah parti-parti politik yang tidak mendapat mandat rakyat dalam PRU, berkomplot dengan beberapa Ahli Parlimen parti pemerintah dan mencapai majoriti di Parlimen.

“Harus difahami bahawa inilah komplot atau konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan yang sah setelah mendapat mandat rakyat.

“Sebagai contoh, sekiranya Umno dan Pas yang tiada mandat rakyat dalam PRU ke 14, berkomplot dengan beberapa Ahli Parlimen PH dan mencapai majoriti mudah, maka inilah yang dinamakan sebagai kerajaan ‘Pintu Belakang’, ” kata beliau.

Akhirnya kata Dr Zaidi, rakyat akan melihat PH lebih berintegriti apabila berlakunya peralihan kuasa dari Tun Mahathir kepada Anwar kerana memenuhi serta mengotakan janji konsensus sebelum PRU ke 14.