Peralihan kuasa secara baik jamin PH bukan kerajaan sepenggal

Peralihan kuasa secara baik jamin PH bukan kerajaan sepenggal

Bagi memastikan kerajaan mampu mentadbir negara lebih dari sepenggal atau lima tahun, janji peralihan dan serah kuasa pentadbiran perlulah dilaksanakan secara teratur dan tertib.

Penulis Buku Anwar PM Ke-8, Shahbudin Husin berkata, tempoh peralihan kuasa dilihat penting supaya ada perancangan teliti agar Pakatan Harapan (PH) tidak terus bergolak.

Beliau turut mengumpamakan, membiarkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga berusia 98 tahun ibarat mendera beliau yang kini semakin berusia.

“Usia dua tahun adalah tempoh yang cukup cantik untuk Dr Mahathir menggalas jawatan sebagai PM.

“Kita sebagai orang lebih berupaya, kalau kita paksa beliau bekerja sampai usia 98 tahun, kita seperti mendera beliau. Dan usia dua tahun itu juga sebenarnya cukup cantik seperti tempoh bertunang.

“Kenapa penting janji peralihan kuasa perlu sama-sama diusahakan terutama kita yang undi Pakatan Harapan (PH)? Kerana kita mesti sayang kerajaan PH yang ada untuk melahirkan pemimpin, pelapis yang baik. Kita tak mahu mereka jadi kerajaan sepenggal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Diskusi Buku Anwar PM Ke-8, Janji Serah Kuasa Yang Mesti Ditepati, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata soal peralihan kuasa tidak sepatutnya menjadi permasalahan kepada PH oleh kerana pelantikan Anwar Ibrahim termaktub dalam janji hitam putih yang menjadi ketetapan apabial PH menang.

“Ada janji hitam putih yang mana antara ketetapan jika PH menang, Anwar akan jadi menteri.

“Beliau mendapat sokongan dari semua parti PH. Jadi soal peralihan kuasa tak sepatutnya jadi masalah kepada PH jika mahu jadi kerajaan dengan tempoh lebih lama dan baik,” katanya.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Datuk Mohammad Redzuan Othman; Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin; Bekas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar; dan Editor Astro Awani sebagai moderator, Nazri Kahar.