Malaysia Dateline

Peralihan kuasa: Terpulang kepada saya, kata Mahathir

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini memutuskan peralihan kuasa Tun Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 selesai dianjurkan, akhir tahun ini.

Di dalam sidang media yang barlangsung kira-kira jam 12 tengah malam ini, Mahathir memberitahu Majlis Presiden akan menyerahkan kepadanya sama ada melepaskan jawatan atau tidak.

“Saya berasa bangga akhirnya diserahkan (keputusan) kepada saya. Apa yang saya kata mereka akan turut. Peralihan akan berlaku selepas APEC.

“Selepas APEC, terpulang kepada saya sama ada saya nak lepas (jawatan) atau tak lepas, itulah kepercayaan oleh parti kepada saya. Alhamdulillah,” jelas Mahathir.

Terdahulu, Anwar Ibrahim cenderung agar Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui negara sehingga selesai APEC 2020.

Anwar berkata beliau membangkitkan isu itu kerana ada usaha daripada Pas, sekumpulan dari Umno dan sebilangan kecil dari PKR dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga akhir penggal.

Anwar berkata Dr Mahathir tidak terlibat dalam usaha itu malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau (Dr Mahathir) akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan.