Malaysia Dateline

Peranan ahli, penyokong Pas untuk jatuhkan regim Umno-Najib

Mohamad bersalam dengan penyokong Pas selepas disahkan sebagai calon PH di parlimen Kota Raja.

Pas dikenali, sejak lama, bermula di awal penubuhannya, sebagai parti yang mempunyai pemimpin, aktivis dan ahli yang tahan uji, sedia berkorban, tidak mengharapkan imbuhan dunia, komited dengan perjuangan Islam dan ikhlas bekerja.

Mungkin Pas kadang-kadang dilihat agak naif mengatur strategi dan pendekatan politik, tetapi penyokong dan ahli-ahlinya kekal dihormati, sabar berdepan apa jua tribulasi dan mehnah.

Mereka mudah berkorban demi mengangkat agenda dan martabat parti. Pernah popular kalimat “duit Pas ada dalam poket ahli-ahlinya” bagi menggambarkan bahawa walaupun parti Islam itu tidak menyimpan dana yang banyak tapi apabila diperlukan mereka tidak lokek menyumbang apa yang ada.

Kantung derma jihad akan segera diisi sehingga, antara lain, Pas memiliki rangkaian pejabat atau markas di setiap kawasannya.

Pas bukan hanya wadah siasah atau politik sahaja, tetapi juga merupakan wadah dakwah dan tarbiyah.

Ahli-ahlinya dilatih dan dididik untuk menghayati Islam sebagai cara hidup yang sempurna, melalui program-program yang disusun khas.

Mereka juga diajar untuk mematuhi arahan pimpinan, termasuk dalam perkara yang mungkin mereka sendiri tidak memahaminya.

“Takkan ulama nak bawa masuk kita ke dalam neraka,” begitulah sanggahan pantas jika ada ahli yang bersungut tidak berpuas hati dengan amalan atau tindakan parti.

“Pimpinan lebih mengetahui apa yang terbaik untuk jamaah,” ini juga kalimah yang sering dilontarkan bagi meredakan kegusaran ahli akar umbi yang mula bertanya tentang kebijaksanaan sesuatu keputusan politik dibuat.

Diselang-seli dengan sokongan firman Allah dan sabda Nabi, membuatkan majoriti ahli dan penyokong tidak lagi banyak bertanya dan mempersoalkan.

Saya perhatikan, aset utama Pas, yakni komitmen tinggi ahli dan pengorbanan ikhlas aktivisnya, memang mampu meletakkannya pada kedudukan yang dihormati kawan dan lawan, tetapi ia juga terbuka luas kepada risiko dimanipulasi pihak tertentu, termasuk oleh kepemimpinannya.

Mohamad (tengah) bertanding tiga penjuru di Kota Raja melawan calon Pas dan BN. Ahli Pas boleh membantu kalahkan BN dengan mengundi PH.

Ditambah pula dengan sikap melampau, taksub atau fanatik melulu, yang sering menolak pemikiran rasional dan keterbukaan minda, serta mudah menghukum pihak yang berbeda jalur pemikirannya sebagai sesat dan terkeluar daripada Islam. Akal fikiran seolah-olah tidak memainkan peranan sebaiknya.

Terselit juga perasaan bahawa diri dan komuniti mereka sahaja yang suci dan betul, manakala pihak lain yang berada di luar kelompok – meskipun juga berjuang Islam – dilabelkan dengan istilah-istilah negatif.

Pemahaman terhadap sesuatu isu atau senario semasa juga “separuh masak” atau di luar konteks. Ia bergantung semata-mata kepada apa yamg disumbat oleh pimpinan atasan.

Mungkin keadaan itu akan memudahkan Pas untuk dikawal atau dikendalikan, tetapi fenomena ini membantutkan parti untuk berkembang maju ke hadapan, terutama dalam menangani cabaran semasa yang lebih kompleks dan sofistikated.

Peluang tidak dapat direbut terutama apabila ia datang dalam bentuk rintangan sulit. Krisis dan konflik dalaman juga gagal diuruskan dengan bijaksana sehingga membuka pintu kepada perpecahan yang serius.

Lebih malang apabila parti sukar membedakan antara seteru dan sahabat, selain payah mengenal pasti antara prinsip dasar yang tidak boleh dikompromi, dengan masalah-masalah cabang yang rutin dihadapi.

Gagal memilih keutamaan atau prioriti, dan gopoh atau gelojoh untuk menyikapi umpan pihak lawan. Terlalu berbaik sangka, dan “lurus” dengan musuh.

Ya, kepimpinan Pas berhak menentukan strategi, pendekatan dan memutuskan apa jua arah masa depan parti.

Mereka boleh menjalin persefahaman dengan mana-mana parti dan kemudian memutuskannya, seperti apa yang dilakukan terhadap PKR dan DAP.

Sama ada alasan yang dikemukakan itu munasabah atau rasional, ia soal kedua, apatah lagi bila ahli-ahli atau perwakilan dalam muktamar sedia menerimanya.

Pas juga tiada berhalangan untuk mengubah tempo atau rentaknya berdepan penguasa Umno-BN, daripada tegas dan jelas menentangnya, kepada nada yang nampak lebih lembut dan mesra. Atau apa yang diistilahkan sebagai budaya politik matang dan sejahtera.

Seolah-olah dahulunya, di zaman Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, atau ketika Mohamad Sabu menjadi regu Ustaz Abdul Hadi Awang, Pas kurang bijaksana dalam bermuamalah dengan regim memerintah?

Presiden Amanah Mohamad Sabu berjabat tangan dengan Prof Dr Jasser Audah dari Kanada penuh mesra
Presiden Amanah Mohamad Sabu berjabat tangan dengan Prof Dr Jasser Audah dari Kanada penuh mesra. Amanah, sebagai parti Islam, terbukti memperjuangkan kepentingan Islam.

 

Mungkin waktu itu, Pas asyik berkonfrontasi serta membangkang secara sembrono, dan melupakan tugasnya sebagai penasihat yang perlu meraikan banyak kerja kebajikan kerajaan, sehingga sering bersikap berkecuali dalam pengundian di Parlimen,

Saya sering menegaskan, memang benar Pas tidak pernah menjalin tahaluf atau persefahaman rasmi dengan Umno. Tidak pernah!

Kehadiran Ustaz Hadi dalam program melibatkan Najib Razak, walaupun dengan berpakaian sedondon, nemang tidak nenjadi masalah besar. Itu bukan isu pun, apatah lagi jika majlis berkaitan kepentingan ummah dan negara.

Cuma, jika ada pihak yang “membaca” aksi, kenyataan dan diamnya Pas dalam isu-isu besar rakyat, seperti skandal mega 1MDB, sebagai usaha tidak rasmi mendekatkan diri dengan regim, ia tidak harus dianggap fitnah.

Dalam dinamisme politik, isyarat dan mesej sentiasa “berterbangan” dan terdedah kepada pelbagai tafsiran.

Begitu juga, apabila Pas berhabis-habisan membelasah DAP, seolah-olah bekas sekutunya dalam Pakatan Rakyat dan Barisan Alternatif itu adalah musuh terbesar Islam dan umatnya.

Kritikan dan kecaman kepada DAP, yang masih dalam posisi pembangjkang, dihentam bermati-matian, sedangkan masa sama kezaliman, kepincangan dan kerakusan Umno-Najib serta elit penguasa seakan-akan hanya dipandang sebelah mata. Kita tidak memerlukan seorang penganalisis politik untuk mentafsirkan kecenderungan siasah Pas, cukup dengan rakyat biasa yang boleh membuat kesimpulan mudah.

Ya, cukup dengan menonton Buletin Utama TV3 untuk menggolongkan Pas sebagai parti mesra Umno dan memusuhi Pakatan Harapan.

Cita-cita dan hajat pemimpin Pas untuk menjadi penentu atau king maker pembentukan kerajaan selepas PRU14, secara tersurat, bukanlah satu kesalahan.

Dalam politik, bukan satu dosa untuk mengimpikan apa sahaja. Kerap kali juga, sesuatu misi politik yang dianggap mustahil tiba-tiba menjadi realiti.

Menjelang PRU2008, rasanya tiada pemimpin pembangkang yang yakin bahawa Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak akan dikuasai. BN juga tidak khuatir mereka akan kalah kerana tiada petanda awal kubu mereka akan runtuh di negeri-negeri itu.

Begitulah juga dengan Pas sekarang; ia boleh memasang angan-angan, bukan hanya memerintah beberapa negeri, seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor, seperti dilafazkan Ustaz Hadi dalam pelancaran gerak kerja pilihan raya di Kuala Terengganu (dan nembiarkan negeri-negeri lain kekal di bawah BN), malah tekadnya untuk memerintah kerajaan persekutuan juga tiada salahnya.

Cuma, dalam perebutan sengit di antara BN dan Pakatan Harapan, yang seolah-olah membentuk sistem dua parti, kedudukan Pas menjadi terpinggir.

Pengundi merasakan sebarang undi untuk Pas seolah-olah membazir, ibarat membuang secubit garam ke lautan.

Apatah lagi apabila Pas sejak awal sudah menunjukkan sikap berpihak, iaitu lebih cenderung kepada Najjb-BN, dan menghentam teruk Mahathir-PH.

Pengundi melihat undi mereka untuk Pas akan dijadikan dagangan atau komoditi, untuk tukaran bagi kepentingan Pas.

Saya yakin majoriti besar penyokong Pas mahu menjatuhkan regim kleptokrasi dan menubuhkan kerajaan baru, yang antirasuah, berintegriti, transparen, mesra rakyat, dengan program-program menyeluruh untuk meringankan beban warga yang tertekan susah dan melakukan reformasi terhadap sistem dan institusi strategik negara.

Ahli-ahli Pas tidak mahu parti mereka menjadi tongkat kepada regim korup yang mencuri wang rakyat.

Kajian pendapat awam menunjukkan sokongan terhadap BN dan PH hampir seimbang dan bersaing sengit, masing-masing sekitar 40 peratus, manakala selebihnya, 20 peratus diraih Pas.

Benar, pengaruh Pas, terutama di kalangan penyokong tegarnya masih berakar dan sukar goyah.

Bagaimanapun, saya kira sokongan itu mungkin goyang jika mereka menyedari undi itu tidak menjadikan Pas sebagai king maker, tetapi hanya berfungsi untuk mengekalkan regim yang ada.

Dalam sistem yang ada, First-Past-the-Post, peratusan undi popular kadang-kadang tidak membawa sebarang makna.

Justeru, ada kajian mengunjurkan Pas mungkin kehilangan semua kerusi Parlimennya, termasuk di pangkalan tradisinya, Kelantan dan Terengganu.

Soalnya, apakah penyokong setia Pas ini mungkin beralih mengundi PH, khususnya Amanah, yang juga sebuah parti Islam, selepas menyedari undi mereka menjadi sia-sia atau sekadar memecah-belahkan sokongan terhadap oposisi.

Sekalipun, jika ditakdirkan Pas memperolehi beberapa kerusi strategik dan peluang nemungkinkan ia menjadi kingmaker, tetapi potensi untuk bersama PH membentuk kerajaan baharu amat tipis sekali.

Semua komponen dalam PH dianggap musuh oleh Pas, khususnya DAP dan Amanah, serta sosok Dr Mahathir sendiri.

Tepat seperti kata Dr Zuhdi Marzuki, strategis Pas, bahawa hanya ada dua kemungkinan selepas PRU14, iaitu kekal sebagai psmbangkang atau bersama BN.

Apatah lagi, dalam kepemimpinan tertinggi Pas, srkurang-kurangnya dikatakan ada lima tokoh yang berkerat rotan dengan PH.

Berdepan DAP, Pas mengisytiharkannya sebagai anti-Islam, Amanah pula pengkhianat yang perlu “dihancurkan”, manakala personaliti Mahathir ditolak sepenuhnya memandangkan rekod buruk pemerintahan selama 22 tahun.

Pas mengungkit kembali sisi buruk dan hitam, antaranya Peristiwa Memali 1985, yang mengorbankan Ustaz Ibrahim Libya dan 13 anak-anak muridnya, bersama empat orang anggota keselamatan. Ia cukup tragis dan nenyedihkan sekali. Insiden berdarah itu sepatutnya boleh dielakkan jika ia diurus secara bijaksana dan berhemah.

Tulisan Ketua Polis Daerah Baling ketika kejadian, Tunku Mudzaffar Shah Tunku Ibrahim dalam bukunya, “Memali: Kenangan Seorang Polis”, boleh membantu kita memahami bagaimana perancangan silap-gelojoh dalam operasi menangkap dan sikap pandang ringan terhadap Ibrahim Libya dan penduduk Memali akhirnya membawa padah.

Namun begitu, menyalahkan bulat-bulat kepsda Ustaz Abdul Hadi, ketika kejadian berjawatan Naib Presiden Pas, juga bukan satu pertimbangan yang adil.

Walaupun Kertas Putih yang dikeluarkan kerajaan meletakkan faktor Amanat Haji Hadi sebagai punca tragedi Memali, namun bagi saya ia tidak semudah itu. Senario politik sekitar 1984-85, yang tegang dan panas dengan isu-isu agama, serta sikap kerajaan yang keras terutama dalam menangani perbedaan pendapat harus diambil kira.

Realiti di Memali, juga hubungan akrab dan rasa hormat yang tinggi di antara tok guru (Ustaz Ibrahim Libya) dengan anak-anak muridnya, mesti diberi penilaian. Operasi tangkapan ISA, iaitu penahanan tanpa bicara mungkin mudah dilakukan kepada tokoh-tokoh Pas lain, seperti Mohamad Sabu, Abu Bakar Chik dan Suhaimi Said, tetapi untuk menangkap Ustaz Ibrahim dengan modus operandi yang tidak cermat dan kurang berhati-hati, ia mengundang padah yang tidak terbayang.

Saya tidak bersetuju sama sekali punca musibah itu disandarkan sepenuhnya kepada Amanat Hadi walaupun fatwa beliau itu mungkin menyimpang daripada ajaran agama,

Mohamad Sabu seru aspek keyakinan pengundi diberikan keutamaan.-Foto Malaysia Dateline Wan Zahari Wan Salleh.
Hubungan Amanah, Bersatu, PKR dan DAP cukup baik untuk kalahkan BN. Pas kini terpinggir.

Pemahaman dan aliran pemikiran Islam Mahathir juga dipersoal. Saya tidak pernah berhasrat untuk mensucikan Mahathir di atas segala kesilapan dan dosa lampaunya. Biarkan ia menjadi lipatan sejarah dan kita berkongsi menimba iktibar dan pengajaran.

Namun saya juga tidak boleh melupakan jasa dan sumbangan besar insan bernama Mahathir ini, apatah lagi kini beliau bersedia menyinsing lengan mengetuai usaha perubahan dan pembaharuan, serta menyelamatkan negara daripada mangsa kleptokrat nombor wahid dunia. Mahathir tegak berdiri mencabar kleptokrat dan menyuntik semangat untuk berlawan!

Saya juga tidak begitu selesa dengan sikap sesetengah pemimpin pembangkang yang beria-ia menjulang Mahathir dan mencari-cari justifikasi terhadap sisi negatif masa silamnya.

Seringkali apabila berdepan situasi kritikal dan genting, mana-mana pemimpin pun, termasuk Mahathir, memilih jalan selamat, yang sukar dipertahankan rasional dan kebenarannya selepas itu. Misalnya, penggunaan ISA, manipulasi akta represif lain dan beberapa langkah dalam projek penswastaan, yang menguntungkan kroni dan membeban rakyat.

Setiap pemimpin pasti ada kelemahannya. Manusia tidak terlepas daripada silap dan salah. Apatah lagi tokoh yang pernah berkuasa dan berpengalaman memerintah sebegitu lama, seperti Mahathir. Rakan-rakan sejawat, misalnya dalam Kabinet dan teman-teman sesama parti atau sekutu dalam gabungan yang memerintah, mesti berani menegur dan membetulkan.

Bukankah Kabinet mengamalkan prinsip kebertanggungjawaban bersama? Seseorang menteri tidak boleh lari daripada sama-sama mendukung keputusan penting dan penggubalan dasar-polisi awam.

Justeru, harus ada mekanisme yang sistematik dan mengikat agar seseorang perdana menrteri tidak berkuasa mutlak untuk memaksakan kehendak atau minatnya menjadi rancangan atau projek kerajaan, sekalipun ia memudaratkan rakyat dan negara,

Pas sudah menempuh koleksi eksoerimen politik yang rencam. Di bawah kepimpinan ulama sejak 1983, Pas nampak dapat mengharunginya secara bertahap dengan penuh matang.

Semasa mahu bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan Semangat 46, Pas berdepan dengan protes dalaman. Ku Li dilihat sebagai arkitek penting yang menjatuhkan kerajaan negeri Kelantan pada 1978.

Namun, dengan penuh bijaksana dan sabar, persefahaman itu dapat dibentuk dengan rasmi, atas nama Angkatan Perpaduan Ummah. Hasil di Kelantan amat menakjubkan, iaitu semua kerusi Parlimen dan Dun dapat dikuasai Angkatan, dalam PRU1990. Walaupun undi popular Angkatan di Kedah, negeri Ustaz Fadzil Noor merosot berbanding prestasi Pas pada 1986, Presiden Pas itu tidak memandang ke belakang.

Sewaktu Ustaz Fadzil mengorak langkah awal membina kerjasama dengan Anwar Ibrahim pada 1998, beliau bertindak bukannya dengan restu parti, tetapi besar buat Pas.

Ramai juga mengingati Anwar sebagai tombak tajam Umno menikam Pas. Anwar juga dianggap bersama-sama Mahathir dalam segala aksi pemerintahan yang tidak demokratik, menekan rakyat, rasuah dan pembaziran mega. Malah saya secara peribadi, turut mengambil sedikit masa sebelum secara terbuka bersama perjuangan Reformasi Anwar.

Namun begitu, sekali lagi kebijaksanaan dan kesabaran menjadi penawarnya. Keputusan PRU1999 menghamparkan Pas sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, dengan penguasaan 27 kerusi dan menawan Dun Terengganu.

Maknanya, Pas terbukti dapat bermuamalah dengan baik sekali berdepan real politik dan sekali gus beroleh manfaat memajukan parti.

Justeru, saya rasa kebingungan dan payah untuk memahami langkah politik Pas seterusnya, bermula 2008, yang mudah termakan umpan Umno, kemudiannya dengan perangkap RUU355. Sehingga bukan sahaja sedia memutuskan hubungan dengan DAP, malah berkempen habis-habisan menentang parti sekular itu, dengan melabelkan anti-Islam dan seumpananya.

Elit Umno sejak PRU2008 sudah bersedia dengan apa jua kos bagi memusnahkan persefahaman DAP-Pas, satu gabungan yang cukup berbahaya ke atas survival BN.

Sesungguhnya Pas bertindak atas skrip yang disediakan strategis Umno dan tiba-tiba sahaja bertukar menjadi parti Melayu dan luruhlah imej Pas For All.

Segala pertimbangannya dikaitkan dengan kepentingan Melayu-Islam, dalam pengertian yang sempit dan kelihatan seperti dipengaruhi agenda tertentu.

Sewajarnya, berbekalkan pengalaman bekerjasama dengan Ku Li dan Anwar itu, Pas boleh mengatur rentak berhemah untuk bersama Mahathir.

Apa pun, menilai punca perpecahan dalaman Pas sendiri, sehingga melahirkan sebuah parti Islam baharu, Amanah, dan menamatkan tahaluf dengan DAP dan krmudiannya PKR, saya kira halatuju Pas tidak sukar untuk diteka lagi. Pas pernah memutuskan hubungan dengan DAP menjelang PRU2004, tetapi masa itu tidak timbul langsung krisis jati diri Pas sebagai oposisi tulen.

Tidak ada main mata dengan Umno. Namun, kini, berdepan dengan parti pembangkang lain, bukan main banyak syarat-syarat dikenakan, serta bidasan tajam diluahkan, tetapi jika dihadapkan isu-isu membabitkan skandal Najib, ada pula “kelonggaran” yang dipilih.

Sikap Pas yang mengadakan hubungan sulit dengan Umno ini dengan mudah ditangkap oleh penganalisis politik antarabangsa, misalnya Prof Clive Kessler dari Australia, seperti dalam artikelnya, yang diterjemah dan disiarkan dalam buku ini.

Ahli dan penyokong Pas sentiasa dilatih dan ditarbiyah untuk menerima apa sahaja -kami dengar dan kami taat – keputusan parti. Mereka ikhlas dan walak; tidak banyak karenah untuk mempersoalkan kebijaksanaan kewajaran sesuatu keputusan dibuat.

Saya sekadar menawarkan sudut pandang berbeda, agar penyokong Pas dapat berfikir, merenung dan menilai tentang nasib dan masa depan umat dan tanahair tercinta. Kita sudah menjalani perjuangan yang panjang, penuh berliku, mengharungi onak dan duri.

Masakan apabila menghampiri destinasi, kita menjadi keliru dan sanggup menjadi perkakas untuk kerajaan kleptokrat kekal berkuasa.

Secara terbuka saya menyeru rakan-rakan dalam Pas, teruslah kekal komited, istiqamah dengan agenda perjuangan Islam.

Negara kita perlu diselamatkan. Pakatan Harapan bukanlah sempurna. Mahathir juga banyak kelemahan. Tetapi di sebelahnya ada ramai pemimpin yang teruji, misalnya Mohamad Sabu, Dr Wan Azizah Ismail, Lim Kit Siang dan ramai lagi pemimpin muda berbakat.

Mereka sahaja tidak dapat membina semula tanahair yang dirosakkan dengan teruk ini.

Perjalanan kita baru bermula. Kemenangan PH dalam PRU14 nanti, insya Allah bukan penamat acara. Terbentang luas peranan dan tanggungjawab kita semua untuk mencipta babak baru buat Malaysia yang lebih baik dan adil, mampu memayungi setiap warga, termasuk golongan miskin kurang berada, berteduh dengan sejahtera dan harmoni, terjaga makan minum mereka, menikmati keselesaan usia tua, kesihatan terjaga, hubungan kaum terjalin mesra tanpa curiga dan apabila berada di luar sempadan boleh berbangga dengan nama baik negara. Semoga Allah memberkati dan merahmati Malaysiaku.

Jangan pandang mudah undi kita di persimpangan sulit ini.