Peranan Belia tangani pencemaran laut

Peranan Belia tangani pencemaran laut

Pada bulan lepas, kira-kira 80 orang belia dari pelbagai negara berkumpul untuk membincangkan isu yang serius tetapi sering dipinggirkan iaitu pencemaran marin.

Mereka yang datang dari Maldives, Sri Lanka, Nepal, Indonesia, New Zealand, Vietnam, Yemen, China dan Malaysia mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian kepada isu laut yang ada kaitan dengan pencemaran marin.

Kumpulan belia itu adalah peserta Persidangan Antarabangsa mengenai Belia, laut dan SDG14 yang diadakan di sebuah hotel di Melaka dari 1-5 Julai. Ia dianjurkan Yaysan Belia Dunia, pertubuhan bukan kerajaan yang bersekutu dengan Jabatan Maklumat Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

(SDG14 adalah singkatan untuk Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia merujuk kepada pemuliharaan dan penggunaan mampan sumber laut dan marin.

Beberapa kertas kerja di bentangkan pada persidangan empat hari itu oleh wakil Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO); Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia (USM), Persatuan Pencinta Alam Malaysian dan MeshMinds Foundation.

Atur cara terakhir program ini ialah membersihkan pantai di jeti nelayan di Pantai Siring di Merlimau, Melaka.

Sisa plastik, pembetungan dan pertanian di samping enap cemar toksik dari kilang dan loji jana kuasa begitu mudah dihumban ke dalam laut kita.

Banyak isu dibangkitkan untuk perbincangan, antaranya pencemaran laut di luar pantai Bali, Indonesia. Timbunan sisa plastik yang terdapat di dasar laut menjejaskan habitat marin.

Sebaliknya, dasar laut di luar pantai Maldives dilaporkan agak bersih kerana kerajaannya amat berhati-hati serta kerap memeriksa kegiatan industri pelancongan dan perikanan.

Pelancongan adalah penyumbang utama pendapatan untuk Maldives, diikuti oleh perikanan. Nelayan Maldives mempunyai cara yang unik untuk menangkap tuna bersirip biru dari laut mereka yang tidak melibatkan penggunaan pukat. Kaedah ini membantu mengekalkan jumlah tuna bersirip biru.

Sewaku sesi Pembinaan Kapasiti oleh Pusat Kajian Marin dan Pesisiran Pantai USM, Dr Norlaila Mohd Zanuri menekankan bagaimana golongan belia boleh memainkan peranan penting dalam melaporkan sebarang krisis yang berlaku dalam lautan dan sebagai ‘pemberi maklumat’untuk kerajaan masing-masing.

Asidifikasi (pengasaman) air laut oleh loji kuasa turut dibincangkan. Jumlah air yang banyak dilepaskan dari loji kuasa ke dalam laut menyebabkan kerosakan teruk kepada karang dan plankton, melemahkan keseluruhan sistem ekologi habitat samudera.

Sekali karang terjejas, habit di sekitar termasuk ikan akan terancam dan boleh menghapuskan semua sistem ekologi.

Satu perempat daripada semua spesies samudera bergantung kepada karang untuk makanan dan tempat berlindung meskipun terdapat kurang daripada satu peratus karang pada permukaan bumi dan kurang daripada dua peratus di dasar samudera. Memandangkan karang begitu berbeza-beza, terumbu karang sering dipanggil hutan hujan samudera.

Amat malang kerana manusia adalah ancaman besar kepada terumbu karang. Penangkapan ikan berlebihan serta kaedah menangkap ikan yang merosakkan, serta pencemaran, pemanasan global, perubahan kimia samudera dan spesies yang invasif, semuanya menjadi beban berat. Di sesetengah tempat, karang habis musnah keseluruhannya dan di kebanyakan tempat pada hari ini, karang semakin pupus.

Dr Sahadev Sharma dari Universiti Malaya bercakap mengenai kepentingan paya bakau. Di seluruh dunia, 30 hingga 50 peratus daripada 13 hingga 15 juta hektar paya bakau sudah musnah.

Malaysia dilaporkan negara mempunyai paya bakau ketiga terbesar di dunia dan Hutan Simpan Matang di Perak dan paya bakau di Sabah adalah kes terbaik yang dijaga kesejahteraannya.

Paya bakau memainkan peranan kritikal dalam mengimbangkan habitat samudera dan membantu ikan serta krustasia untuk membiak. Paya bakau turut melindungi kita daripada bencana seperti gelombang tsunami.

Di samping itu, paya bakau juga menghalang air masin daripada memasuki sungai. Malang sekali tidak ada agensi antarabangsa yang memberi tumpuan kepada paya bakau untuk memastikan kelestariannya.

Dengan lapan juta tan sisa plastik memasuki samudera kita setiap tahun, setiap negara perlu mempercepatkan perlaksanaan ‘penggunaan ekonomi pusingan’ yakni mengambil langkah untuk meminimumkan sisa dan menggunakan sepenuhnya sumber yang ada.

Menurut Forbes, pada masa ini hanya sembilan peratus ekonomi global berbentuk ‘ ekonomi pusingan’ – ini bermakna hanya sembilan peratus daripada 92.8 bilion tan galian, minyak fosil, logam dan biojisim, diguna semula.

Sejak tiga tahun lalu, banyak negara mula mengharamkan penggunaan beg plastik. Ini adalah satu langkah permulaan yang baik tetapi meskipun setiap negara mengharamkan beg plastik, ia tidak akan membawa sebarang makna kerana beg plastik hanyalah kurang daripada 0.8 peratus daripada barangan plastik yang terapung di lautan dunia.

Sebanyak 70 peratus barangan plastik yang ditemui terapung di laut pada hari ini – kira-kira 190,000 tan – datang dari sektor perikanan dan sebahagian besarnya boya dan pelbagai peralatan menangkap ikan.

Ketika membersihkan pantai di Pantai Siring selepas habis persidangan baru-baru ini, saya nampak banyak pukat menangkap ikan ditinggal di pantai dan apabila saya bertanya, nelayan berkata mereka tinggalkan pukat itu kerana pihak berkuasa tidak membantu mereka untuk membersihkan pukat tersebut.

Wakil persidangan dengan bantuan pelajar dari Sekolah Menangah Gajah Berang, berjaya mengumpul 87 kilogram sisa antaranya pukat menangkap ikan, cawan plastik, pontong rokok, tin dan kotak dari Pantai Siring.

Dengan hampir 350 juta tan produk plastik baru dihasilkan setiap tahun, pembersihan pantai sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan masalah ini. Matlamat besar persidangan ini adalah untuk menyediakan golongan muda ‘perkakas yang perlu’untuk menyekat sisa daripada memasuki laut dan samudera.

Sebanyak 40 peratus daripada penduduk dunia terdiri daripada golongan belia dan sudah tentu bilangan mereka besar. Jumlah mereka boleh menjadikan mereka kuat seperti samudera itu sendiri.

Sekiranya isu penghuni marin dibiar tanpa penyelesaian, kesannya akan ditanggung generasi masa depan. Dalam dunia di mana kita mencipta telefon pintar, bandar raya pintar dan kereta api pintar dan di mana kita menggunakan kepintaran buatan untuk menyelesaikan masalah, ayuh kita gunakan kepintaran semula jadi untuk memperbaiki persekitaran kita.

Suhu lautan yang semakin meningkat menjejaskan sistem ekologi marin, mengancam sekuriti makanan, menambah kemunculan penyakit dan menyebabkan cuaca melampau dan kehilangan perlindungan pantai.

Menurut kajian baharu, mikro-partikel plastik memasuki daging ikan. Sepasukan ahli sains dari Malaysia dan Perancis menemui sejumlah 36 kepingan kecil plastik dalam badan 120 ikan termasuk ikan tenggiri, ikan bilis dan ikan belanak.

Memandangkan mereka terpelajar dan bertenaga, golongan belia perlu memberi tumpuan kepada persekitaran mereka. Persekitaran di sekeliling kita semakin kritikal dan begitu pantas berubah. Ayuh kita pantau perubahan yang berlaku dan bertindak menghentikan apa sahaja yang boleh menjejaskan masa depan kita.

Penulis adalah pengamal komunikasi dan Felo Institut Perhubungan Awam Malaysia.