Peranan strategik AMANAH sebagai parti Islam progresif tangani pakatan Umno-Pas (Bahagian Pertama)

Ahmad Lutfi OthmanPresiden AMANAH, Mohamad Sabu semasa konvensyen nasional parti tahun lalu.

Dalam tempoh tidak sampai tiga tahun penubuhannya, Parti Amanah Negara (AMANAH) menggalas tanggungjawab kritikal dan sukar berdepan PRU14, Mei 2018.

Pilihan raya itu juga merupakan kesempatan terbaik untuk menggantikan kerajaan, susulan momentum yang terbina pada 2008 dan diperkukuhkan pada 2013. Bermula dengan penafian terhadap majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan meraih undi popular lebih 52 peratus.

Kehadiran Dr Mahathir Mohamad, negarawan ulung bersama barisan pembangkang untuk menjatuhkan regim Najib Razak dilihat melonjakkan peluang itu, khususnya memperolehi sokongan lebih luas pengundi Melayu.

Peluang sering muncul bersama cabaran sulit. Ketika Umno berpecah teruk ekoran skandal mega 1MDB, Pas — komponen oposisi paling berpengalaman dan teruji — pula digoncang krisis dalaman yang serius. Parti Islam itu pula mengambil sikap mesra-Umno dan meleraikan hubungan dengan DAP dan PKR.

Rata-rata ketika itu, khususnya dalam kalangan aktivis dan pendukung tegar pembangkang, sejak Gagasan Perpaduan Ummah (1990), Barisan Alternatif (1999), Pakatan Rakyat (2008), sehingga membibitkan Pakatan Harapan (PH), begitu kecewa dengan sikap Pas. Mungkin potensi terbaik membentuk kerajaan baharu disia-siakan begitu sahaja apabila talian hayat regim kleptokrasi nampak disambung Pas.

Penubuhan AMANAH pula berdepan kesukaran membina tapak dan pangkalan kukuh. Pas menyedari saingan sengit parti Islam progresif itu, sekali gus mengepung ahli-ahlinya daripada terpengaruh, malah menghadang dengan pelbagai “sekatan”.

Pelancaran buku Parti Amanah Negara menjelang PRU14; kini parti Islam progresif ini mendapat sambutan menggalakkan.

Serangan psikologi bertali-arus dengan aneka gelaran jelik seperti pengkhianat, jebon, munafik haraki, khadam DAP dan seumpamanya, malah hingga timbul ungkapan “halal darah”. Pemimpin dan penyokong AMANAH dilabel golongan Islam liberal yang ghairah mencari kemenangan walaupun dengan kaedah yang melanggar prinsip-prinsip Islam.

Pemimpin Pas yang berhasrat membentuk kerjasama politik dengan Umno secara terbuka terpaksa memendam hasrat itu kerana bimbang ahli-ahlinya bertindak keluar parti dan menyertai AMANAH. Penyokong Pas diasuh sekian lama untuk menolak kemungkaran dan kezaliman pemerintah Umno-BN. Dakwaan bahawa Pas ada pakatan sulit dengan Umno disifatkan fitnah semata-mata.

AMANAH menawar harapan baharu dan menyediakan wadah alternatif buat ahli-ahli Pas yang kecewa dengan penyimpangan idealisme perjuangan. Meskipun berusia setahun jagung namun ia adalah penerus kesinambungan warisan Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Ada pendapat popular mengatakan, jika AMANAH tidak ditubuhkan waktu itu, besar kemungkinan Pas akan bekerjasama dengan Umno dalam PRU14. Disebabkan munculnya sebuah lagi parti Islam, hasrat sebilangan pemimpin Pas itu tertangguh, bimbangkan ahli-ahlinya secara berbondong-bondong menyertai AMANAH.

Bukan sedikit rintangan dan mehnah terpaksa ditempuh oleh pendiri awal parti, termasuk cemuhan, kejian, umpatan dan pelbagai jolokan nama buruk. Namun “gugusan” kepemimpinan ini tetap tabah, cekal dan gigih melebarkan pengaruh, dengan segala keterbatasan.

Tanpa berbekalkan figura terkenal seperti Anwar Ibrahim di awal penubuhan PKR dan Mahathir ketika Bersatu dilancarkan, AMANAH cukup dengan bermodalkan idealisme perjuangan Islam beserta sekumpulan aktivis yang tahan uji. Deretan nama-nama personaliti yang berdada langsung dengan kezaliman penguasa dan tidak serik mengutamakan kepentingan rakyat, serta membuktikan sikap setiakawan bersama rakan-rakan pembangkang.

Mengenali sebahagian besar pelopor parti yang memilih jalur sederhana dan bersikap peduli-inklusif ini, secara peribadi saya terhutang budi kepada mereka. Saya percaya mereka bersikap jujur dengan perjuangan. Tidak mudah, malah perit, untuk keluar atau berundur daripada Pas, tetapi apabila terbentang platform yang dapat menampung penghayatan politik Islam, pilihan terbuka luas.

PRU14 juga penentu kelangsungan hayat parti kecil berjiwa besar ini. Cabaran pertama bagi memperolehi bilangan kerusi yang memadai. Proses pengagihan kerusi pastinya tidak mudah. DAP paling selesa untuk mempertahankan status quo di kerusi mahoriti Cina, manakala PKR lebih beruntung diperuntukkan kerusi campuran. Kawasan tradisi Pas terpaksa dikongsi AMANAH dan Bersatu; PKR juga beroleh manfaat.

Semasa konvensyen PH di Shah Alam, empat bulan sebelum PRU14, Mahathir mengumumkan agihan kerusi Parlimen Semenanjung dan mengisytihar AMANAH sebenarnya parti yang menjayakan proses sulit itu. Tanpa tolak-ansur AMANAH, konvensyen berkenaan menemui jalan buntu. Memujuk pendukung agar menerima ketetapan itu juga memerlukan kebijaksanaan pemimpin. Bukan hanya kerusi terkecil, iaitu 27 berbanding Bersatu 52, PKR 51, DAP 35 tetapi di Wilayah Persekutuan langsung tidak mendapat sebarang kerusi. Di Johor juga timbul rungutan tidak puas hati apabila diperuntukkan hanya dua kerusi Parlimen, tidak sampai pun sepuluh peratus. Johor juga dilihat antara negeri paling subur buat AMANAH.

Namun begitu, pemimpin AMANAH berlapang dada dan bersikap terbuka. Keistimewaan ini dipertahankan sehingga kini. Mungkin ia dianggap “lembek, budiman tidak kena tempat dan mudah mengalah”, tetapi parti moderat ini ternyata tidak melatah. Ia pandai memposisi diri meskipun dalam keadaan sukar.

Ternyata konsep “equal partner” yang dipegang Mahathir ketika membentuk Kabinet mengharmoniskan suasana. Kebangkitan rakyat menumbangkan BN, bukannya kekuatan tunggal mana-mana parti atau personaliti. AMANAH seperti parti lain, dilayan seimbang. Tiada siapa menduga, tanpa sebarang kerusi di Wilayah, ia diamanahkan posisi paling strategik – menteri!

Kini, selepas berusia empat tahun dan 18 bulan bersama menerajui Puterajaya dan kerajaan negeri, cabaran tentu lebih kompleks. Menguruskan kerajaan, apatah lagi “membersihkan peninggalan regim enam dekad”, memerlukan upaya luar biasa. Menyelia parti pemerintah yang menarik minat ramai dengan tenaga terhad juga menagih komitmen cukup lebih tinggi.

Pertambahan mendadak ahli baharu sehingga mencecah 10,000 sebulan juga menuntut sistem pengurusan dan pentadbiran lebih efisyen. Luahan kerisauan aktivis awalan parti tentang ketulenan dan kemurnian idealisme perjuangan tentu mempunyai kewajaran. Cadangan agar proses perkaderan dan latihan kepemimpinan secara sistematik dititik-beratkan patut diberi perhatian serius.

Sebagai parti Islam, AMANAH harus proaktif mempertahan dan memperkukuh jati diri dengan ideologi perjuangan serta mengolah cabaran kontemporari, juga memanfaatkan setiap potensi-aset, bagi melonjakkan pengaruh dalam persada politik tanah air.

Cabaran besar-kritikal sebagai komponen gabungan parti pemerintah, khususnya ketika langkah pembaharuan kerajaan kerap dipertikai harus ditangani secara berkesan. Tambahan lagi isu kerjasama politik dua parti pembangkang Melayu, Umno-Pas serta perang persepsi yang dikatakan PH tertinggal jauh di belakang.

Peranan strategik AMANAH semakin diperlukan terutama untuk menangkis serangan Pas, sekali gus menarik sokongan masyarakat Muslim di utara Semenanjung dan Pantai Timur. Pendekatan sederhana dan progresif mungkin indah pada kalimahnya tetapi sukar untuk diterapkan dalam kehidupan seharian masyarakat yang rata-rata masih konservatif.

BERSAMBUNG…