Malaysia Dateline

Perancangan bina aset pertahanan memakan masa, boleh jejas hala tuju dan fokus

Susulan pembentangan KPP hari ini,  bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, perancangan untuk membina satu aset pertahanan yang mungkin mengambil masa lima hingga lapan tahun boleh menjejaskan hala tuju dan fokus bukan sahaja keyakinan daripada rakyat, tetapi daripada warga dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu sendiri.

“Apa akan berlaku sekiranya perancangan kita pada ketika itu baru nak mula? Ancaman yang mungkin hari ini kita belum mengambil tindakan yang pro aktif, pada masa dan ketika itu kita baru nak masukkan jawatankuasa untuk dipertimbangkan.

“Pertamanya, pembiayaan dan peruntukan yang ada pada negara pada ketika itu kita tidak tahu sama ada ianya mencukupi atau tidak.

“Kedua adalah dari segi masa yang diperlukan untuk membina aset-aset berkenaan dan kita juga tidak tahu apa yang dipertimbangkan dan keutamaan yang diberikan oleh bukan sahaja ATM tetapi Kementerian Pertahanan,” katanya pada sesi perbahasan KPP, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Hishamuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong menyifatkan ‘wish list’ itu bukan sahaja penting, malah intipati KPP turut sama mempunyai kepentingan.

“Intipati KPP itu penting untuk kita tahu apa sebenarnya perinciannya supaya kita lebih yakin apa yang dibentangkan itu akan menjadi kenyataan,” ujarnya lagi.

Memetik laporan Kini TV, KPP yang dibentangkan di Parlimen hari ini tidak mempunyai perincian mengenai rancangan Kementerian Pertahanan untuk keselamatan negara, kata Hishamuddin.

Hishamuddin menyifatkan KPP itu sebagai ‘mengecewakan’, membimbangkan dan terdapat banyak kelemahan.

“Ia tidak mempunyai butiran mengenai pendekatan, arahan dan dasar kementerian untuk 10 tahun akan datang. Mereka (kementerian) hanya memasukkan senarai keinginan aset tetapi bukan bagaimana atau bila mereka merancang untuk mendapatkannya,” katanya.