Malaysia Dateline

Perancangan hadapi banjir dipertingkat setiap tahun, kata Mohamad

Kerajaan akan mempertingkatkan usaha sepanjang masa untuk menangani masalah banjir dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

“Langkah-langkah pencegahan akan dibuat sepanjang Rancangan Malaysia untuk lima tahun,” katanya kepada pemberita selepas meninjau mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati di sini hari ini yang turut dihadiri Panglima 2 Divisyen Datuk Mardzuki Muhammad.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata parti itu akan menyokong usul Akta Perlembagaan (Pindaan)(No 2) berkaitan perjawatan Perdana Menteri.

“Itu manifesto, kita akan sokong,” katanya ringkas.

Cadangan mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri kepada dua penggal bagi mengelak salah guna kuasa adalah antara janji Pakatan Harapan dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mahu menyemak laporan wujudnya penyelewengan berhubung tender bot laju Fast Interceptor Crafts (FIC) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), beliau berkata kerajaan terbuka untuk mana-mana pihak melakukan siasatan.– BERNAMA