Malaysia Dateline

Perancangan sejak 2019 hasilkan pelan terbaik lawan Covid-19

Komitmen semua pihak yang terlibat sejak mesyuarat pertama bencana alam negara pada Disember 2019 yang menghasilkan pelan terbaik dalam menghadapi wabak Covid-19 kini mendapat pujian semua pihak.

Perancangan ini disedari selepas diakui oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Norhisham Abdullah yang berkata kejayaan Malaysia mengendalikan Covid-19 sekarang adalah bermula dengan perancangan sejak 2019 lagi.

Perkara ini dirakamkan oleh Edy Noor Reduan, aktivis blogger melalui satu postingnya petang semalam.

“Tahniah yang tidak terhingga kepada mantan TPM, Dr Wan Azizah yang begitu komited mempengerusikan mesyuarat bencana alam sejak Disember 2019..

“Tahniah juga YB Dr Dzul, mantan Menteri Kesihatan yang mendapat banyak pujian dari badan-badan kesihatan dunia termasuk WHO.

“Jutaan tahniah juga kepada Dr Noor Hisham selaku Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan yang menjadi insan paling penting di Malaysia mengharungi Covid-19 dengan penuh kematangan dan keazaman serta disiplin yang tinggi. Malah sikap beliau memberi kredit kepada kerajaan terdahulu amatlah terpuji,” tulis Edy Nor dalam posting itu.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan terima kaseh kepada semua frontliners yang berjuang bermati-matian menghadapi wabak bencana alam paling mengancam dunia ketika ini.

“Andalah adiwira yang tidak didendang, andalah insan terhebat di mata rakyat,” kata Edy.

Malaysia diiktiraf sebagai antara negara yang berjaya mengawal Covid-19 dari merebak dengan lebih teruk berbanding dengan negara-negara lain di dunia.

Mulai semalam, Malaysia  berada di Liga Kedua Covid-19 dunia apabila keluar ke helaian kedua negara yang diserang wabak itu.

Kalau selama ini negara berada bersama dengan negara-negara utama mangsa Covid-19 termasuk Amerika, Italy, Sepanyol, Jerman, Perancis dan China, kini Malaysia jauh turun ke bawah dan masuk ke halaman kedua senarai itu.

Kadar kematian 1.58 peratus di Malaysia akibat Covid-19 adalah jauh lebih rendah berbanding purata kematian negara-negara lain antara 4 – 5 peratus.