Malaysia Dateline

Perang bendera AMANAH dan GPS di Dun Sebuyau

Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan berlangsung pada 18 Disember ini semakin hangat apabila beberapa kawasan mula dipenuhi dengan bendera parti yang bertanding.

Walaupun SOP yang sangat ketat, perang bendera dalam kalangan parti yang bertanding tidak menghampakan kerana ada yang menyifatkan kempen PRN Sarawak kurang menyengat kerana tiada penglibatan BN dan Umno.

Tinjauan dan pemantauan di sekitar Pekan Sebuyau pada Isnin menyaksikan perang bendera antara parti yang bertanding iaitu AMANAH dan GPS.

Kelihatan kibaran bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti AMANAH Sarawak menguasai beberapa kawasan sekitar Pekan Sebuyau dan Kampung Baru Sebuyau.

Kerusi DUN Sebuyau pula akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon AMANAH Maxwell Rojis, melawan Datuk Julaihi Narawi (GPS) dan Wan Chee Wan Mahjar (PBK).

Perlawanan kali ini menyaksikan hanya dua kuasa besar bertanding iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pakatan Harapan (PH).

Walaupun setiap sesi ceramah hanya dibenarkan selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam di lokasi tertutup tetapi sekurang-kurangnya dapat memberi peluang kepada parti dan calon-calon berkempen serta berceramah politik seperti biasa.