Malaysia Dateline

Perang citra AS-Rusia: Antara unipolar dan multipolar

Nampak kebimbangan Amerika Syarikat (AS) berhubung dengan bilakah masa Rusia akan menyerang Ukarine atau letusan daripada dalam Ukraine di sekitar wilayah Donbass, wilayah autonomi yang hendak diisytiharkan merdeka banyak berkisar di sekitar visual atau citra AS yang mengwajahkan Rusia sebagai negara berbahaya kepada dunia.

Laporan media Barat yang benar-benar ingin merealitikan Rusia menakluki Ukraine memperlihatkan seolah-olah perang dingin dihidupkan.

Pengcitraan atau pengwajahan yang ingin dipaparkan AS melalui media dalam ruang siber dapat diertikan sebagai penciptaan kekaburan terhadap realiti, suatu keterputusan daripada suara demokrasi dan hegemoni AS dalam dunia antarabangsa.

AS tidak mahukan citra dunia dengan pandangan multipolar tentang realiti antarabangsa, yang mengkonstruksi konsep-konsep kepelbagaian dalam hubungan antarabanga atau yang dikonsepkan sebagai dialog tamadun kepelbagaian.

Hakikatnya, lama-kelamaan akan meninggalkan AS dalam realiti sejarah yang terbenam dalam lautan Atlantik.

Oleh itu, AS akan tetap berkeras dengan pencitraan tunggal ingin menenggelamkan realiti citraan Rusia dan sebagai kuasa pengimbang dalam dunia pencitraan multi polar dan tidak ingin dunia mendengar alasan dan rasional kenapa Rusia meletakkan tenteranya di sempadan.

Pengwajahan Rusia bahawa AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah mengancam sempadannya dengan tentera mereka di negara-negara di sempadan tidak dibicarakan secara seimbang.

Pencitraaan Rusia bahawa AS-lah sebenarnya musuh keamanan, yang sengaja mencetuskan kegawatan itu tidak diangkat sebagai wacana seimbang dalam isu antarabangsa ini.

Apa yang ditekankan melalui pengwajahan media AS ialah Rusia akan menakluki Ukraine dan sejumlah lebih 100,000 tenteranya berkumpul di sempadan Ukraine. Pengwajahan ini dipaparkan secara visual melalui satelit, gambar dan siaran televisyen.

Washington melalui perang citra ingin menenggelamkan citra Rusia dan kewajaran Moscow kerana yang penting dan diutamakan ialah kewajaran AS. Seolah-olah sukar untuk mencari sumber Rusia.

Kewartawan Barat ala-Amerika ingin menuju ke arah situasi perang, pencitraan perang, pertentangan terbuka kemungkinan sehingga ke perang nuklear.

Perang Rusia Ukraine Amerika Syarikat NATO
Presiden Rusia, Vladimir Putin hari ini mengarahkan tenteranya melakukan satu operasi ketenteraan di Ukraine.

Bagaimanapun, seluruh episod krisis ini adalah perancangan AS dalam percaturan geo-politik, pengwajahan dakwaan-dakwaan terhadap Rusia mengenai rancangan menakluki Ukraine disertakan asakan-asakan propaganda dalam realiti hiper siber yang agak keterlaluan.

Kebuntuan yang sengaja direka melalui pengwajahan ini memperlihatkan manifestasi AS yang masih tebal dengan pemikiran Perang Dingin. AS telah terkunci dalam mentaliti ‘war-economy’.

Politik Perang Dingin mengkehendak adanya konflik dan perang dalam perhubungan antarabangsa. Oleh itu, pengwajahan ini memerlukan krisis atau konflik di Ukraine antara AS dan Rusia.

Walaupun Perang Dingin sudah berakhir hampir 30 tahun dahulu dengan berkecainya empayar Kesatuan Soviet, namun pencitraan permusuhan dengan Kesatuan Soviet tidak pernah padam walaupun telah bertukar nama kepada Republik Persekutuan Rusia.

Ini kerana perang citra ini ialah mengenai hegemoni AS/Barat, mentaliti Perang Dingin masih terpendam dalam pemikiran oligarki elit Rumah Putih.

Tiada realiti atau pengwajahan yang dibenarkan hidup atau bernafas bersama, menandingi atau mencabar sistem kapitalisme Barat.

Namun, pengumuman Moscow baru-baru ini bahawa kebanyakan anggota tenteranya telah kembali ke kem masing-masing sebagai dijadualkan selepas tamatnya latihan ketenteraan tentunya akan menamatkan kempen propaganda Fobia Rusia (teringat Islamophobia) yang dikumandangkan media Barat bahawa Ukraine akan ditawan Rusia pada bila-bila masa.

Jika Rusia bertindak bodoh termakan dengan pencitraan AS tetiba menakluki Ukraine, ini bermakna Presiden Rusia, Vladimir Putin telah terjebak dan termakan hasutan dan propaganda AS dan Barat melalui pengwajahan yang sedang dilakukan.

Sebagaimana AS telah berjaya menumpaskan Kesatuan Soviet pada 1990-an sehingga empayarnya terbarai, menjadikan “The End of History” buku klasik tulisan Francis Fukuyama, kemenangan Kapitalisme menentang Sosialisme, AS yakin perkara yang sama akan berlaku ke atas Rusia.

Maka, bersandarkan kepada mentaliti Perang Dingin, AS tidak akan berputus asa mungkin menggunakan pelan keduanya dengan pengwajahan melampau yang tidak masuk akal nanti mengenai kebimbangan Rusia menyerang Ukraine lagi.

Jika diteliti dengan tajam dalam pencitraan yang dilakukan bahawa krisis di Ukraine, isu saluran gas Nord Stream 2 dalam hubungan Jerman dengan Rusia, ia hanyalah riak air di permukaan.

Isu yang cuba dihakikikan melalui pengcitraan ialah gelombang yang dibawa Rusia dan China, gelombang perubahan dan penguasaan geopolitik, pemetaan baharu Eropah dan Asia yang mencabar AS dan NATO.

Gelombang yang dibawa Rusia dan China berbentuk ideologi dan hegemoni mencabar hegemoni AS di Eropah dan Asia khususnya. Dunia unipolar yang dikuasai AS akan pudar dengan pembentukan kuasa multipolar atau pelbagai khutub.

Kedudukan geopolitik yang mencabar ini membuatkan Presiden Joe Biden merasakan citra Rusia perlu dikembirikan daripada memainkan peranan di rantau Eropah.

Mentaliti Perang Dingin ini mengkehendaki AS masih terus menguasai Eropah dan masalah di Ukraine memperlihatkan kegusaran Washington akan pengaruh Rusia.

Begitu juga dengan keresahan AS terhadap perjanjian bekalan saluran gas Jerman dengan Rusia itu yang membawa kepada hubungan akrab kedua-dua negara dalam bidang ekonomi dan perdagangan dan akan memudarkan pengaruh AS ke atas Jerman.

Rakyat Jerman mahukan bekalan gas yang murah dan Canselor baharu Jerman Olaf Scholz harus mendengar suara rakyat daripada tunduk kepada tekanan Biden. Perang citra menggunakan krisis di Ukraine ini bertujuan supaya Jerman tidak menandatangani perjanjian bekalan gas Rusia-Jerman itu.

AS sedang berperang citra dengan pengwajahan perikatan Rusia dan China dan gabungan hasrat kedua-dua negara dalam mewujudkan gagasan pencitraan Eurasia Raya akan menjejaskan hegemoni dan pencitraan AS.

Penulisan ini bukanlah bertujuan menyokong Rusia dan China setelah keengganan pentadbiran Biden dan Washington untuk mengorak langkah ke arah mewujudkan pengwajahan dunia multi-polar yang aman damai, diplomasi antarabangsa dan mewujudkan hubungan sejahtera sejagat tetapi AS mahukan realiti tunggal dominasi dan hegemoni Washington sahaja dengan pencitraan tunggal.

Sudah sampai masanya AS perlu menyingkirkan realiti dan pengwajahan tungal, hidup dalam industri kompleks ketenteraan (Industrial Military Complex) dan bernafaskan dalam ekonomi perang.

Dunia telah letih dengan tingkahlaku AS yang mengakibatkan seluruh dunia porak peranda dan sengsara – pengwajahan Perang Dingin selepas Perang Dunia Kedua misalnya perang Korea, perang di Vietnam, krisis Timur Tengah, isu Palestin, campur tangan di negara Amerika Selatan, perang menentang keganasan, menakluki Iraq, Libya dan Afghanistan.

Di manakah Malaysia dalam perang pengwajahan kuasa-kuasa besar ini? Daripada segi kedudukan kita berada di titik panas antara Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Dapatkah kita mengekalkan pencitraan kita dengan dasar luar berkecuali yang tidak menyokong mana-mana kuasa besar?

Mahukah kita berada dalam situasi pengwajahan Perang Dingin Kedua?

*ISMAIL HASHIM YAHAYA merupakan pensyarah perhubungan antarabangsa di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).