Malaysia Dateline

Perang dengan Amerika Syarikat adalah malapetaka, kata Menteri Pertahanan China

Wei Fenghe, Menteri Pertahanan China berkata bahawa jika berlaku konflik atau peperangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China, ia adalah satu malapetaka, menurut laporan Nikkei Asian Review.

Wei memberi kenyataan ini ketika menyampaikan ucaptama di Dialog Shangri-La, Singapura.

Wei juga turut mengkritik AS kerana negara kuasa besar tersebut menyokong Taiwan untuk bebas dari China dan meneruskan operasi pelayaran kapal di Laut China Selatan.

Tambah Wei, Beijing akan bertindak ofensif jika mana-mana negara ingin memisahkan Taiwan dari China.

“Tiada usaha untuk memecah belahkan China akan berjaya. Mana-mana pihak yang cuba untuk campur tangan dalam soal ini juga akan gagal,”.

Kini hubungan AS-China tegang kesan daripada perang dagang. Malah, dasar AS yang menyokong Taiwan untuk bebas dari China dan pelayaran bebas di Laut China Selatan (LCS) hanya menambah lagi ketegangan di dalam hubungan dua hala di antara dua negara itu. Tindakan China yang memperkasakan kekuatan ketenteraannya di LCS juga tidak membantu.

Di dalam ucapan Wei, walaupun tidak merujuk kepada AS secara spesifik, menyatakan bahawa, “Sesetengah negara dari luar rantau ini datang untuk menunjukkan kekuatannya atas nama pelayaran bebas,”.

Wei turut menyentuh isu berkaitan perdagangan, di mana beliau menyatakan bahawa China akan “pertahan sehingga keakhirnya” jika AS terus menekan isu perdagangan.

Tetapi jika AS bersedia untuk ke meja perundingan, “Pintu sentiasa terbuka,” jelas Wei.