Perang dipaksa Saudi dorong 1 juta penduduk Yaman hadapi wabak penyakit, lapor ICRC

Perang terhadap Yaman meninggalkan kesengsaraan kepada kanak-kanak, wanita dan orang awam.

Perang yang dipaksakan terhadap Yaman mengakibatkan kesengsaraan berpanjangan terhadap rakyat negara tersebut.

Terbaru, import minyak dan barangan keperluan lain yang tergendala selama lebih sepuluh hari mengakibatkan tiga bandar terpaksa menghentikan bekalan air bersih kepada penduduknya mengakibatkan lebih satu juta orang menghadapi risiko penularan wabak kolera dan penyakit berjangkit disebabkan air tercemar.

“Operasi sistem bekalan air dan kumbahan di bandar Hodeida, Sa’ada dan Taiz telah dihentikan kerana kekurangan bekalan minyak,” ujar ketua perwakilan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Yaman, Alexandre Faite.

Keadaan ini, katanya mengakibatkan lebih satu juta penduduk terputus bekalan air bersih dan mengalami masalah kumbahan yang teruk di kawasan padat penduduk di negara yang baru pulih daripada wabak kolera paling buruk dalam sejarah dunia moden.

Faite menjangkakan, bandar utama lain di Yaman termasuk ibu kota Sana’a akan mengalami situasi serupa dalam tempoh dua minggu ini melainkan aktiviti import barangan keperluan disambung semula.

Sempadan Yaman termasuk pelabuhan dan lapangan terbang ditutup sejak 6 Nov.

Walaupun pelabuhan dan lapangan terbang di bandar Aden dibuka semula baru-baru ini, bantuan bekalan kemanusiaan tidak sampai ke majoriti bandar utama seperti Sana’a dan Taiz.

Yaman dengan 27 juta penduduk bergantung kepada 90% import barangan keperluan termasuk makanan, perubatan dan minyak.

“Hospital, klinik dan khidmat rawatan kecemasan menggunakan generator yang sedikit masa lagi akan keputusan minyak,” tambah Faite.

Khidmat kesihatan di negara tersebut, ujarnya tidak akan mampu menampung jumlah pesakit ekoran jumlah yang cedera meningkat akibat pertempuran di seluruh negara.

“Stok bekalan perubatan kami makin berkurangan dan kami berhadapan risiko tidak mampu memberikan khidmat sokongan kepada banyak kemudahan perubatan,” katanya.

Menurut beliau, puluhan kakitangan perubatan termasuk anggota pasukan pembedahan ICRC tidak dapat kembali bertugas di Yaman akibat penutupan sempadan.

Sehubungan itu, ICRC mengulangi gesaan agar barangan keperluan dibenarkan dibawa masuk ke Yaman dan lapangan terbang Sana’a di buka semula kepada penerbangan kemanusiaan (humanitarian flights).

“Menghalang bantuan kemanusiaan daripada diterbangkan ke Sana’a dan pergerakan keluar masuk petugas kemanusiaan di Yaman telah melumpuhkan program bantuan utama yang menjadi pergantungan jutaan rakyat Yaman,” tambah Faite.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES