Perang mulut peraih undi BN-PH hangatkan Cameron Highlands

Dingin pagi di perkarangan pusat pengundian SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata sekitar jam 9 pagi tadi hangat seketika apabila berlaku perang mulut antara peraih undi BN dan PH.

Berada lebih 50 meter dari sekolah tersebut, kumpulan peraih BN tertumpu di hadapan Kompleks Pejabat Penghulu Tanah Rata manakala kumpulan penyokong PH di seberang jalan.

 

Peraih undi BN di hadapan Kompleks Pejabat Penghulu Tanah Rata manakala perayu undi BN di seberang jalan.

Kumpulan BN diberitahu datang dari Kuantan dan Kuala Lumpur manakala penyokong PH dari Pulau Pinang dan Perak selain sekitar Pahang.

Provokasi mula tercetus apabila salah seorang kumpulan BN berteriak, “awan biru pagi ini,” lantas disambut penyokong BN dengan sorakan termasuk “ong, ong, PH ada ong (untung).

Selain kata-kata sindiran seperti “kencing” dan “hancing” daripada kumpulan BN, seorang penyokong menyerbu kumpulan PH ketika media sedang merakam gambar.

 

Pengundi mula beratur seawal 7 pagi bagi membuang undi di SMK Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata

Seorang penyokong BN mahu dikenali sebagai Arshad, 25, berasal dari Pekan memberitahu, sindiran “awan biru pagi ini” sengaja mahu menguji kesabaran penyokong PH.

Sementara itu, seorang penyokong PH yang merupakan bekas anggota polis berkata, mereka tidak membalas provokasi peraih BN itu kerana tidak mahu perkara lebih buruk berlaku.

“Kita nama pun “raya”. Raih undi bukan mahu cari gaduh. Tindakan seorang ‘penyokong Najib’ (BN) itu datang kacau kumpulan kami (PH), nampak sungguh tidak cerdik,” kata penyokong Bersatu itu.

Walau bagaimanapun, keadaan masih terkawal dengan beberapa anggota polis bertugas menghampiri kedua-dua kumpulan sambil mengingatkan jangan menghalang lalu lintas.

Terdahulu, pada jam 8.40 pagi, dua kenderaan Hilux mengangkut keluar kumpulan pengundi Orang Asli yang telah membuang undi.

 

Pengundi Orang Asli dari Kampung Sungai Ubi diangkut oleh jentera BN sejurus membuang undi di SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata.

Mereka dilihat diuruskan jentera BN kerana sejurus kenderaan itu bergerak, teriakan “Hidup BN” kedengaran.

Hari ini, seramai 32,048 pemilih berdaftar boleh membuang undi dengan 34 peratus daripadanya adalah pengundi Melayu, Cina (30 peratus), Orang Asli (22 peratus) dan India 14 peratus.