
Perang perayu undi hangatkan pagi Tanjung Piai
“Dua campur dua – empat!”
Sorakan kumpulan penyokong Pakatan Harapan (PH) dalam ‘perang’ merayu undi berdekatan SK Telok Kerang menghangatkan PRK Tanjung Piai pagi ini.
Di seberang jalan, kumpulan perayu undi BN disertai sekumpulan penyokong Pas menyambut teriakan dengan “nombor dua”.

Penyokong BN dan Pas kelihatan begitu serasi bersama
‘Nombor empat’ merujuk kedudukan calon PH, Haji Karmaine dalam kertas undi manakala nombor dua ialah calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
Tinjauan Malaysia Dateline mendapati cara penyokong BN merayu undi lebih bersifat provokasi.

Penyokong PH merayu undi berdekatan SK Telok Kerang pagi ini
Mereka dilihat turut menggunakan kata-kata sindiran seperti “empat hancing” dan “kencing merata” diikuti gelak ketawa.
Sebaliknya penyokong PH menyambutnya dengan teriakan “Pakatan Harapan” dan “pangkah nombor empat” kepada kenderaan yang lalu lalang di kawasan ini.
Walau bagaimanapun, keadaan masih terkawal setakat jam 9 pagi ini. Cuaca agak redup dengan rata-rata pengundi dalam jam pertama pusat mengundi terdiri daripada warga emas.
Seramai 52,986 pemilih berdaftar akan membuang undi hari ini di 125 saluran mengundi iaitu masing-masing 60 dan 65 saluran di N.55 Pekan Nanas dan N.56 Kukup.