Perang poster harga petrol naik

Perang poster harga petrol naik

Sejak malam tadi media sosial terutama di aplikasi WhatsApp dibanjiri pelbagai poster berbaur sarkastik ekoran kenaikan kadar baharu harga runcit RON95, RON97 dan diesel berkuatkuasa hari ini.

Semakan Malaysia Dateline mendapati ‘perang poster’ tersebut boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu sindiran polos iaitu tanpa bermotif politik serta kecaman menyasarkan kerajaan Umno-BN sebagai bahan cacian.

Bagi kategori pertama, imej berupa seekor beruk dipakaikan mesin rumput antara poster yang tular sempena kenaikan harga petrol sebanyak 20 sen mulai tengah malam tadi.

Bersama dialog dalam dialek Kelantan, beruk tersebut yang kononnya berhasrat mahu memotong rumput berang dengan ‘berkata’, “nate berok sungguh” apabila mengetahui harga minyak naik.

“Harap minyak ini tak naik harga sebab semua rakyat Malaysia tengah (sedang) sakit kepala.” Itu pula mesej yang terkandung pada poster yang memuatkan imej sebotol minyak Cap Kapak.

Jika minyak ini naik harga semua rakyat Malaysia akan sakit kepala

Turut dilihat tersebar luas di media sosial adalah imej meter kenderaan dengan jarum penunjuknya dilekat pada garis bacaan penuh, ‘F’ berserta catatan “cara nak jimat minyak”.

Pada masa sama, perang poster ekoran keputusan kerajaan meletakkan harga RON95 kepada RM2.30 dan RON97 menjadi RM2.60 mulai 1 Februari juga ‘dimeriahkan’ dengan kecaman terhadap rejim Umno-BN.

Imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbaju terpampang logo 1Malaysia sedang ketawa besar sehingga mendongakkan kepala turut meluas dikongsi netizen di kebanyakan kumpulan WhatsApp.

“Hahaha… BR1M dah dapat, minyak naiklah,” dipetik daripada kapsyen foto itu merujuk kepada skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dijadualkan diagih secara berperingkat bermula 18 Februari ini.

Penyebaran poster tersebut dilihat sindiran tajam kepada penerima bantuan sejak diperkenal pada 2012 itu yang masih menyokong Umno-BN.

Petrol naik 20 sen ketika BR1M akan diagih 18 Februari ini

Tidak kurang lucu tetapi ‘pedas’ apabila poster yang meminjam semangat Hari Raya lengkap ucapan ‘Maaf Zahir Batin’ turut menjadi bahan netizen untuk menyindir Umno-BN.

Imej yang terpampang ucapan “Selamat Menyambut Kenaikan Harga Petrol kepada Seluruh Rakyat Malaysia” itu kononnya dikatakan “Tulus Ikhlas Dari: Kerajaan Janji Ditepati”.

Ungkapan berinspirasi daripada “1Malaysia Janji Ditepati” merupakan tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pada 2012 itu turut ‘hadir’ dengan gambar muncung (nozzle) pam berwarna kuning merujuk pada RON95.

Kenaikan harga bahan api disambut ibarat Hari Raya

Selain itu, poster yang diedit kemas memuatkan empat pemimpin Umno-BN dengan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim berlatarbelakang warna kuning turut muncul ketika kenaikan harga petrol hangat dibincangkan netizen.

Aksi ketawa sakan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga Menteri Pertahanan yang diambil dalam satu sidang Perhimpunan Agung parti itu dengan di sisinya Najib Razak dalam keadaan tersengih seolah-olah mengetawakan rakyat di negara ini yang terus dipermainkan Umno-BN.

Aksi pemimpin Umno seolah olah mengetawakan rakyat ekoran kenaikan harga minyak

 

TAGS