Ibu nekad halang anak tengok TV, tak sangka perangai berubah jadi kuat mengamuk

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang ibu tidak menyangka tindakannya membiarkan anak menonton televisyen sejak berusia tujuh bulan bakal mendatangkan kesan buruk kepada perangai kanak-kanak berkenaan.

Bukan sahaja sering mengamuk, kanak-kanak yang kini berusia dua tahun itu juga menjadi ‘kuat memerintah’ malah sanggup menangis selama lima jam lamanya jika kemahuannya tidak dipenuhi.

Perubahan perangai anaknya itu membuatkan sang ibu nekad mengambil tindakan drastik dengan menghalang kanak-kanak berkenaan meluangkan seluruh masanya untuk menonton televisyen.

“Tujuh hari sebelum Mummy membuat keputusan untuk buang terus televisyen di dalam kamus hidup Zayn buat masa sekarang. Zayn memang dari tujuh bulan lagi sudah mula menonton televisyen.

“Sekarang dia sudah berusia dua tahun, satu bulan. Sekali menghadap televisyen, memang lama. Hari-harilah buka televisyen. Tiba-tiba hari ini, nampak perangai dia sudah jadi lain.

“Kuat mengamuk, kuat memerintah. Apa sahaja siaran di televisyen itu, dia asyik beri alat kawalan jauh suruh tukar. Berkali-kali dia buat macam itu. Sampai dia menangis tak henti-henti selama 5 jam,” katanya.

@eyda_kmrzman

Minta maaf sayangku ..andai mummy tak sempurna menjadi ibu yang terbaik buat zayn..biar kita ada kesedaran utk ubah hari ni..drpd kita terlambat utk ubah segalanya yg akan dtg..menyesal hari esok tiada guna lg.. 😔 #fypppppppppppppp #iburumahtangga #fyp

♬ Sedih Galau – Ercandra

Tular di media sosial, perjalanan sang ibu dikenali sebagai Eyda dalam mengubah perangai anaknya itu dikongsikan menerusi satu hantaran di platform TikTok dan berjaya meraih sebanyak 4.3 juta tontonan.

Jelas Eyda, perangai anaknya itu dilihat semakin membaik selepas tujuh hari berhenti menonton televisyen malah emosi kanak-kanak berkenaan juga sudah terkawal dan tidurnya juga lebih lena.

“Keesokkan harinya, terimalah akibatnya. Jadi tutup terus televisyen itu daripada pandangan hidup dia buat masa sekarang. Ini yang paling terbaik untuk dia. Sebab dia sudah ada simptom kuat mengamuk sangat sekarang ini.

“Doakan Mummy kuat supaya tak bukakan televisyen lagi untuk Zayn. Doakan saya semoga terus istiqamah untuk tak bukakan televisyen. Sebab dalam enam hari ini, emosi dia lebih stabil dan tidurnya juga lebih lena,” kongsinya.

Baca juga: Restoran nasi kandar di ibu kota tular lepas pekerja dirakam tengah ludah makanan pelanggan