Perangi parti, pemimpin rasuah bukan ‘perang’ sesama sendiri, tegur Ezam

Perangi parti, pemimpin rasuah bukan ‘perang’ sesama sendiri, tegur Ezam

Bekas Senator Mohamad Ezam Mohd Nor mengesa semua parti politik pembangkang tidak menyerang sesama sendiri sebaliknya bersatu dalam memperjuangkan usaha membanteras rasuah di negara ini.

Beliau melihat suasana akhir-akhir ini membabitkan pakatan pembangkang tidak tidak membantu perjuangan memerangi rasuah yang semakin parah hari ini.

“Dalam kesibukan Najib dan gerombolan penyamun dan perasuah terus memunggah dan menyamun khazanah negara, kita juga melihat pimpinan politik yang berjuang melawan pemerintahan Najib semakin hebat bertelagah.

“Sebagai sebuah parti yang menjuruskan perhatian kepada masalah rasuah dan salahguna kuasa, kami merasakan keperluan mengingatkan sahabat seperjuangan di dalam parti-parti Pakatan Harapan dan juga PAS untuk kembali menumpukan kepada isu paling pokok didalam negara kita hari ini yakni memerangi perasuah tegar didalam pentadbiran negara hari ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Walaupun Ezam belum mendaftar secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan dijangka akan berbuat demikian dalam waktu terdekat ini, beliau dalam kenyataannya, menamakan parti baharunya itu  Parti Bebas Rasuah.

Justeru katanya, sebagai bakal menerajui parti baharu itu kelak,rakyat dan negara ini memerlukan perjuangan yang serius dan fokus didalam membebaskan negara dan rakyat dari belenggu pentadbiran Najib yang tegar rasuah.

“Perkara terakhir yang rakyat mahu lihat ialah pertelagahan dikalangan pimpinan dan parti yang mereka dambakan harapan untuk memerangi regim Najib ini dan menamatkan era pentadbiran rasuah tegar.

“Maka kami sebagai sebuah parti kecil dengan tumpuan khusus kepada isu rasuah ini mengharapkan pemimpin dan parti besar yang seperjuangan menghentikan perbalahan sesama sendiri.

“Ini kerana pada pengamatan dan hemat kami didalam Parti Bebas Rasuah ini tidak ada parti didalam Pakatan Harapan dan PAS yang tergolong di dalam pengamal rasuah tegar sepertimana didalam pimpinan dan parti Umno dan BN.

“Musuh kita adalah perasuah tegar dan merekalah yang akan menjahanamkan negara ini.Bukan PKR,bukan DAP, bukan Amanah,bukan Bersatu dan bukan juga PAS.

“Justeru hentikanlah serangan ke arah sasaran yang salah. Kalau kita mahu bela rakyat dan perangi rasuah yang menjahanamkan negara dan menyiksa rakyat negara ini, maka satu-satunya sasaran serangan ialah kepada Umno dan BN.

“Mereka adalah perasuah tegar dan wajib dari sudut moral,agama dan negara untuk kita memerangi mereka. Maka sasarkan lah serangan ke Putrajaya,pejabat PM, Kementerian Kewangan..bukannya Kota Bharu, Georgetown dan Shah Alam,” ujarnya.

TAGS