Malaysia Dateline

Perangsang Selangor menang Anugerah Majikan Pilihan

Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) baru-baru ini menerima Anugerah Perak bagi kategori ‘Majikan Pilihan’ (Sektor Swasta) buat kali kedua, daripada Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM) di majlis penyampaian Anugerah HR Malaysia-Antarabangsa ke-18.

Ketua Pegawai Eksekutif Perangsang Selangor Ahmad Fariz Hassan berkata syarikat itu amat gembira dan berbangga mendapat pengiktirafan buat kali kedua berturut-turut bagi komitmennya dalam membangunkan kemahiran ramai.

“Pengiktirafan ini adalah manifestasi usaha-usaha yang berkesan dalam pembangunan kemahiran yang kami usahakan, dalam menyelaras strategi-strategi serta amalan HR dengan aspirasi pengurusan, dan visi serta misi kumpulan,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Anugerah Majikan Pilihan MIHRM mengiktiraf usaha berterusan dalam pembangunan kemahiran manusia menerusi penyelarasan strategi-strategi HR dengan objektif, matlamat serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) perniagaan.

Perangsang Selangor mempunyai pelbagai portfolio pelaburan serta aset dalam pekilangan, perdagangan, pelesenan, infrastruktur, serta minyak dan gas.

— BERNAMA