Pertandingan 4 penjuru di Kuala Kangsar, PH, BN, Pas dan bebas

Pertandingan 4 penjuru di Kuala Kangsar, PH, BN, Pas dan bebas

Pertandingan empat penjuru berlaku di Kuala Kangsar iaitu calon Pakatan Harapan yang diwakili Amanah, Umno yang mewakili Barisan Nasional, Pas dan seorang calon bebas.

Pakatan Harapan  diwakili Dr Ahmad Termizi Ramli, Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Yazid dan calon Pas, Dr Najihatussalehah Ahmad manakala calon bebas adalah Izzat Bukhary Ismail Bukhary, bekas pensyarah UiTM Perak.

Ikuti lintas langsung dari Kuala Kangsar dalam Malaysia Dateline.

11.00 AM

Lim Guan Eng, Saifudin Nasution dan Maria Chin (Bersih) antara yang turun memberikan sokongan untuk Amanah.

PKR, DAP dan penggerak masyrakat madani dari Bersih 4 antara pihak yang turun memberikan sokongan moral kepada calon Pakatan Harakah di Kuala Kangsar. Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail akan berkampung sepenuhnya di sini sehingga hari pilihan raya 18 Jun ini.

10.00 AM

Pusat penamaan calon telah ditutup dengan tiga parti utama menyerahkan borang pencalon iaitu Amanah mewakili Pakatan Harapan, Umno mewakili BN dan Pas dari blok ketiga.

Calon Amanah Dr Ahmad Termizi Ramli, Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Yazid dan calon Pas, DR Najihatussalehah Ahmad.

Calon bebas Abu Backer Sidek Mohd Zan sepatutnya menyertai pertandingan ini namun menarik diri di saat akhir.

Beliau mengoyakkan kertas pencalonan beliau kerana marah penyokong dan pencadang beliau dilarang masuk ke pusat penamaan calon.

Seorang lagi calon bebas, Izzat Bukhary Ismail Bukhary, bekas pensyarah UiTM Perak,  menyerahkan borang pencalonan.

Pemimpin Umno tempatan yang marah dengan pemilihan calon BN, Syed Rosli Jamalullail yang mengugut untuk menyertai pilihan raya ini sebagai calon bebas juga tidak kelihatan di pusat penamaan calon.

9.00 AM

Perarakan Pakatan Harapan penuh warna warni hari ini. Dengan latar belakang warna oren Amanah, warna biru PKR dan merah DAP juga muncul di celah-celah warna oren itu lambang kesepakatan antara mereka.

Pilihan raya kecil ini adalah ujian pertama untuk Pakatan Harapan selepas mereka turun menyertai pilihan raya secara bersama buat pertama kalinya. 

8.45 AM

Calon Pas Kuala Kangsar bersama Presiden Pas serta penyokong mereka.

Calon Pas Dr Najihatussalehah tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan penyokongnya.

8.40 AM

Pemimpin Pakatan Harapan berkumpul sebelum memulakan perarakan.

Calon dan pemimpin Pakatan Harapan berkumpul di hadapan Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar sementara menunggu pusat penamaan calon dibuka.

Antaranya Penasihat Amanah, Ahmad Awang, timbalan presiden, Salahudin Ayub, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan juga Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

Turut serta adalah isteri calon Amanah, Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi, Pengerusi Amanah Kedah, Dr Ismail Salleh dan juga Pengerusi Amanah Johor, Aminorhuda.

 

 

 

 

 

 

COMMENTS

Wordpress (0)