Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan bermula pada 9 pagi ini.
Pusat penamaan calon ialah di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian, Kajang kira-kira 12 kilometer dari pekan Semenyih.
Tempoh masa mengemukakan kertas pencalonan bermula 9 pagi hingga 10 pagi.
Pengundian awal ditetapkan 26 Feb manakala pengundian 2 Mac.
Calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali, 30 berpakai baju melayu merah tiba di Persiaran Impian Perdana kira-kira jam 7.30 pagi bersama-sama dengan penyokongnya.

Kemudian kira-kira 500 penyokong PH yang hadir mengiringi dan berarak bersama calon PH ke pusat penamaan calon iaitu di Dewan Sri Cempaka kira-kira 200 meter dari tempat mereka berkumpul.
Terdahulu penyokong PH berdoa sebelum berarak ke pusat penamaan calon kemudian berarak dan diikuti laungan takbir.

Perarakan itu diketuai Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PH, Muhyiddin Yassin, turut bersama, Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo.
Antara tokoh dikenali ramai menyertai perarakan itu ialah Anggota Parlimen Jeli dan bekas menteri kanan BN, Mustapa Mohamed.
Turut mengiringi calon PH isterinya iaitu Anak bekas Adun Semenyih, Nurul Filzah Bakhtiar.

Uncle Kentang yang dikenali sebagai aktivis sosial Kuan Chee Heng, diwar-war akan bertanding dalam PRK Semenyih turut tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 9 pagi ini.
Beliau diiringi kira-kira 10 orang penyokong.

Calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul juga tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 8.40 pagi.
Beliau bersama penyokongnya sambil membawa bendera parti melaungkan slogan ‘Hidup Sosialisme’ dan menyanyikan lagu ‘Buruh Tani’.

Calon BN Zakaria Hanafi, 58, pula diiringi pimpinan BN dan Pas ke pusat penamaan calon, dianggarkan ketika ini seramai 1000 penyokong kedua-dua parti itu.
Terdahulu, sekumpulan penyokong yang membawakan kain rentang panjang dengan tulisan ‘Barisan Nasional, Hidup Rakyat’ sambil menyanyikan lagu Inilah Barisan Kita.
Zakaria diiringi pemimpin BN dan wakil PAS sambil mengalunkan selawat.
Kerusi DUN Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.
Pada PRU14, Allahyarham Bakhtiar memperoleh 23,428 undi sekali gus mengetepikan Datuk Johan Abdul Aziz daripada BN, Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM). Bakhtiar menang dengan majoriti 8,964 undi.