Peratusan keluar mengundi di dua PRK capai sasaran SPR

Peratusan keluar mengundi di dua PRK capai sasaran SPR

Pada penamaan calon 5 Jun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar menurun kepada 75 peratus berbanding 88.30 peratus pada pilihan raya umum ke-13.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata ini kerana ramai pengundi yang menetap di luar kawasan dibimbangi tidak pulang mengundi pada PRK kali ini berbanding ketika pilihan raya umum.

Namun  dalam tempoh 30 minit sebelum berakhirnya pembuangan undi di 28 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Sungai Besar dan 23 PDM di Kuala Kangsar telah mencatatkan kenaikan peratusan berterusan sehingga jam 4 petang tadi.

Setelah semua PDM ditutup SPR mengumumkan jumlah keluar mengundi bagi PRK Kuala Kangsar adalah 71 peratus manakala di Sungai Besar 74 peratus.

Dua PRK ini diadakan berikutan kematian dua penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon  dan Datuk  Wan Mohamad Khairil  Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

PRK Parlimen Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Budiman Mohd Zohdi; calon Pas Dr Abdul Rani Osman dan Azhar Abdul Shukur daripada parti Amanah.

Manakala Parlimen  Kuala Kangsar berlaku pertandingan empat penjuru antara  calon BN Datin Mastura Md Yazid menentang calon Pas Dr Najiatussaleha Ahmad, calon Amanah Dr. Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Allahyarham Noriah menang tipis 399 undi mengalahkan lawannya dari Pas, Mohamed Salleh M. Hussin.

Manakala Allahyarham Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad  menang majoriti 1082 undi mengalahkan calon Pas Khalid Idham Abdullah.

COMMENTS

Wordpress (0)