Malaysia Dateline

Perayaan Ponggal: Hormati pandangan Jakim dan Mufti, kata MP Pas

PSemua pihak seharusnya menerima dan menghormati pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pandangan daripada pejabat Mufti Wilayah berhubung isu perayaan Ponggal.

Ahli Parlimen Dungun dari Pas, Wan Hassan Mohd Ramli, berkata isu mengenai pekeliling yang dikeluarkan Jakim terhadap masyarakat beragama Islam untuk meraikan perayaan Pesta Ponggal, seharusnya tidak dijadikan polemik berpanjangan.

“Beberapa garis panduan yang diselia oleh institusi agama Islam bukanlah satu sekatan terhadap perpaduan seperti yang dinilai oleh sesetengah pihak.

“Bahkan garis panduan dan syarat-syarat tersebut perlu dilihat sebagai satu bentuk asas untuk mengukuhkan perpaduan dalam kepelbagaian kaum di negara ini.

“Cuma perlu difahami bahawa ada perkara-perkara teras yang terkandung dalam ajaran Islam yang mesti dipatuhi oleh masyarakat beragama Islam.

“Maka, pekeliling tersebut adalah sebagai satu garis panduan kepada masyarakat beragama Islam supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakkan akidah kepercayaan sebagai Muslim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Wan Hassan turut menggesa sesetengah pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan negatif terhadap ketetapan yang terkandung dalam ajaran Islam.

“Sesungguhnya pandangan-pandangan serong sebeginilah yang sebenarnya menjadi punca dalam merungkai asas perpaduan dalam negara ini,” ujarnya lagi.