Malaysia Dateline

Perayaan Ponggal: Islam harus ucap selamat kepada rakan, tanpa niat iktiraf agama Hindu

Panel Pakar Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpandangan, adalah harus untuk orang Islam mengucapkan selamat kepada rakan dan jiran beragama Hindu yang menyambut perayaan Ponggal.

Bagaimanapun, Jakim menerusi Unit Komunikasi Korporatnya menjelaskan, konteks harus itu adalah tanpa niat mengiktiraf agama mereka dan umat Islam tidak boleh memaki, mencaci serta menghina tuhan-tuhan agama mereka.

“Jakim merujuk isu penglibatan orang Islam khususnya murid dan guru muslim di sekolah-sekolah dalam Pesta Ponggal sepertimana surat pekeliling yang diedarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 13 Januari 2020.

“Pandangan yang dikeluarkan adalah susulan daripada permohonan pihak KPM kepada Jakim mengenai garis panduan kepada warga pendidikan muslim yang terlibat dalam perayaan tersebut.

“Keputusan mengenai perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

“Kami (Jakim) hanya memberikan pandangan dari sudut penglibatan orang Islam dan sama sekali tidak menghalang sambutan tersebut dilaksanakan,” kata kenyataan itu.