Malaysia Dateline

Perayaan Ponggal: KPM tidak pernah halang dibuat di sekolah

 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini memaklumkan, pihaknya tidak pernah menghalang perayaan Ponggal diadakan di sekolah-sekolah.

Menurut kenyataan KPM, surat yang dikeluarkan bernombor rujukan KPM. 100-1/3/2 (64) bertarikh 13 Januari 2020, bertujuan mengurangkan kebimbangan pihak ibu bapa murid beragama Islam dalam penglibatan anak-anak mereka ketika sambutan perayaan tersebut.

“Kenyataan surat tersebut mengambil kira pendirian dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“KPM juga mengingatkan pihak sekolah agar mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuatkuasa jika berhasrat untuk mengadakan sambutan perayaan yang tertentu di sekolah,” kata KPM menerusi kenyataan hari ini.

KPM menjelaskan, budaya dan adat resam antara kaum perlu diketahui, difahami dan dihormati oleh semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru-guru dan murid-murid.

“Sebagai usaha menyemai semangat toleransi, persefahaman dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, KPM menggalakkan penyertaan warga sekolah dalam semua aktiviti silang budaya yang dijalankan.

“KPM menyedari bahawa sekolah adalah tempat untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” katanya.