Perbadanan Bekalan Air P.Pinang rangkul 2 anugerah emas keselamatan, kesihatan pekerjaan

Perbadanan Bekalan Air P.Pinang rangkul 2 anugerah emas keselamatan, kesihatan pekerjaan
Jaseni (Berdiri enam dari kiri) semasa majlis penerimaan anugerah tersebut pada Khamis.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) telah berjaya merangkul dua anugerah emas bagi keselamatan dan kesihatan pekerjaan pada Khamis lalu.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Jaseni Maidinsa.

Jelas beliau, dua loji rawatan air Pulau Pinang memenangi anugerah emas kerana tiada kes ‘ lost time injury’ (LTI), iaitu kemalangan dan kejadian berbahaya yang telah dicatatkan selama tiga tahun berturut-turut.

“Anugerah ini telah diterima daripada Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) pada khamis.

“Pemenang Anugerah Merit Emas MSOSH OSH 2018 adalah untuk Loji Rawatan Air Batu Ferringhi, bagi prestasi cemerlang dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi sektor utiliti.

“Manakala Anugerah Emas MSOSH OSH Kelas 1 2018 adalah bagi Loji Rawatan Air Bukit Toh Alang, untuk prestasi sangat baik dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi sektor utiliti, ” ujarnya,

Menurut Jaseni lagi, sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) PBAPP adalah berdasarkan pensijilan antarabangsa OHSAS 18001:2007.

Katanya lagi, kedua-dua anugerah tersebut mengiktiraf piawaian keselamatan yang tinggi yang telah dilaksanakan di loji rawatan air berkenaan bagi manfaat kakitangan PBAPP.

“Menyedari kepentingannya, sistem pengurusan OSH kami menyokong penyediaan perkhidmatan bekalan air berterusan di Pulau Pinang 24 jam serta 7 hari seminggu.

“Ini adalah bagi memberi manfaat kepada 1.77 juta penduduk dan semua perniagaan yang beroperasi di sini.

“Sistem OSH tersebut juga menyokong dasar ‘tiada catuan air’ Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan meminimakan risiko gangguan bekalan air dan masa henti bekalan air, ” tambahnya