Perbadanan Putrajaya bersetuju tidak naikkan kadar sewa dua kuarters

Perbadanan Putrajaya bersetuju tidak naikkan kadar sewa dua kuarters

Perbadanan Putrajaya (PPj) hari ini, memaklumkan perbadanan itu akan mengekalkan kadar sewa kuarters Blok F dan G di Presint 11, Putrajaya.

Presidennya Datuk Dr Aminuddin Hassim dalam kenyataan berkata, selepas berbincang dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, PPj  telah membuat keputusan untuk tidak menaikkan kadar sewa di dua kuarters berkenaan.

Ini kerana kenaikan kadar sewa itu tidak sesuai dikenakan dalam keadaan semasa.

Semalam Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berjanji akan menyelesaikan segera isu kenaikan kadar sewa rumah di bawah seliaan PPJ dengan secepat mungkin.

Beliau berkata demikian kepada wakil penduduk yang datang bertemu beliau di pejabatnya.

Dalam posting di facebook beliau semalam Khalid memaklumkan beliau menerima kunjungan daripada Wakil Penduduk Blok G & F Putra Damai Presint 11 berkenaan isu kenaikan sewa rumah.

“Saya berjanji akan membincangkan perkara ini semula agar mendapat penyelesaian terbaik,” katanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam catatan di Facebook miliknya mendakwa kadar sewa kuarters PPj naik berganda dari RM400 kepada RM800 sebulan serta menyertakan dua keping gambar notis makluman kadar baharu sewaan kuarters Blok F dan G milik PPj Presint 11.

Loading...